Friday, December 17, 2010

Sembang Naib Presiden PAS

Bersiap hadapi pilihan raya umum

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden

PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.

MARI KITA SEMBANG BERSAMA…

Datuk Tuan Ibrahim (TITM), Salahuddin Ayub (SA) dan Datuk Mahfuz Omar (MO)

Selamat membaca!

Soalan 1: Apakah harapan Naib Presiden sekalian terhadap konvesyen Pakatan Rakyat ke 2?

TITM:

Harapan saya untuk konvesyen ini ia dapat ditumpukan perbincangan bagi melihat masa depan Pakatan Rakyat, khususnya sebagai persiapan PRU 13.

Ia tidak seharusnya menjadi medan menoleh ke belakang atau menimbulkan polemik dalaman antara satu sama lain.

Pakatan Rakyat punyai agenda besar bagi membina keyakinan rakyat kepada perubahan. Agenda perubahan ini bukan sahaja perlu diharap keyakinan rakyat tetapi ia turut melibatkan persiapan kepimpinan yang meyakinkan.

Hubungan antara parti komponen yang telus, disamping sama melihat parti komponen yang saling memerlukan dan saling menguat boleh meningkatkan keyakinan rakyat.

Konvesyen ini juga diharap dapat mencari kaedah mengatasi cabaran media perdana yang tidak berhenti menabur fitnah kepada negeri Pakatan Rakyat dan saluran info bagi rakyat.

SA:

Konvesyen ini merupakan cara kita bergerak ke hadapan untuk merealisasikan apa yang kita telah persetujui dan sepakati dalam konvesyen yang pertama.

Kita perlu lebih tangkas dan pantas hari ini kerana pilihanraya umum yang akan datang pada bila-bila masa, dan ini perlu dijadikan priority untuk semua.

Selepas konvesyen ini, saya rasa Pakatan Rakyat akan menampakan sesuatu imej dan keterampilan, satu pasukan yang benar-benar diyakini rakyat dan membina satu kepercayaan tinggi terhadap team Pakatan Rakyat yang akan mengambil alih Barisan Nasional dan mengurus tadbir negara pada tahap yang lebih bertanggungjawab.

MO:

Diharapkan konvesyen ini dapat memberikan satu garis pada semua pimpinan dan ahli seluruh peringkat bagi parti-parti komponen Pakatan Rakyat ini untuk membawa satu usaha untuk membentuk mood masyarakat dan rakyat untuk menghadapi PRU yang akan datang ini.

Konvesyen ini merupakan satu konvesyen persediaan Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihanraya akan datang.

Dan saya juga harap dapat melalui konvesyen ini, memberikan satu gambaran awal yang menyakinkan masyarakat tentang apa yang akan dilakukan Pakatan Rakyat dalam tempoh 100 hari selepas rakyat memberikan PR kuasa untuk mentadbir negara selepas PRU nanti.

Ini sangat, sangat, sangat penting untuk rakyat melihat daripada sekarang. Kita tidak mampu untuk membawa apa yang kita lakukan ini selepas pembubaran Parlimen dan penamaan calon. Sebaliknya, kita harus mengwar-warkannya daripada sekarang ini.

Apa yang akan disebut seperti pengistiharan resolusi dan deklarasi sebagaimana yang telah pun kita gariskan di konvesyen yang pertama, ia perlu ada satu mekanisme penyaluran untuk sampai kepada masyarakat dan rakyat, ini yang lebih penting.

Pengistiharan dan deklarasi yang kita buat pada konvesyen yang pertama itu sangat baik dan diakui oleh rakan-rakan saya yang bekas ahli UMNO – yang turut berkata itu adalah sangat baik – Cuma masalah sekarang ini ialah bagaimana untuk diperturunkan kepada masyarakat supaya masyarakat dapat melihat kebaikan yang ada kepada Pakatan Rakyat.

Dan saya percaya konvesyen kedua ini akan lebih menyakinkan rakyat, namun yang lebih penting ialah bagaimana pimpinan dan ahli-ahli Pakatan Rakyat ada satu mekanisme dari sudut media dan penyampaiannya kepada masyarakat dan rakyat.

2. Apakah kelebihan utama PAS untuk mempertahankan kubu sendiri dan memerangi kubu kuat UMNO di:

Pahang:

TITM: Kelebihan PAS ialah kekuatan asas perjuangan iaitu aqidah serta dasar Islam yang diperjuangkan. PAS mampu bertahan dengan pelbagai bentuk tekanan kerana dasar tersebut.

Dalam konteks negeri Pahang, PAS terus beristiqamah dalam meyakinkan rakyat untuk melakukan perubahan.

Kejayaan negeri Pakatan Rakyat akan menjadi inspirasi bagi rakyat untuk membuat perubahan. Kelebihan besar di Pahang ialah permuafakatan yang terbina dalam Pakatan Rakyat.

Semua pimpinan negeri sering berjumpa dan menyatakan masalah bagi diatasi bersama. Di samping itu, kesemua wakil rakyat yang kita menangi menunjukkan prestasi yang baik dn memuaskan.

Kelantan:

SA: Di Kelantan, kita mempunyai trak rekod yang bersih, yang paling muktahir apabila SPRM telah membebaskan isu-isu yang mungkin menjadi polemik dan juga kontroversi iaitu isu Tok Guru Nik Aziz dan PMBK (Perbandaran Menteri Besar Kelantan).

Itu juga membuktikan bahawa urus tadbir yang diterajui oleh Tok Guru benar-benar bersih pada tahap ini, dan ini akan menjadi satu aset dan hujah yang kuat untuk kita terus mengurus tadbir Kelantan dalam jangka waktu yang lebih lama dan menyakinkan.

Untuk Kelantan, saya harus ada satu perkiraan iaitu rakyatnya sangat peka dan bijak berpolitik sekiranya kita boleh menampilkan yang terbaik untuk mereka, mereka akan terus mendokong kita, tapi kalau kita dilihat tidak bertanggungjawab dan tidak berupaya mengurus tadbir Kelantan, rakyat Kelantan juga boleh membuat keputusan yang mengejutkan.

Kita, PAS harus berdiri atas satu garis yang lebih realistik, lebih praktikal dan yang penting ialah terus membangunkan Kelantan dengan slogan “Membangun dengan Islam.”

Kedah:

MO: Kelebihan PAS di Kedah ialah memiliki kekuatan akar umbi yang dibina sejak dulu di mana kita mempunyai cawangan-cawangan dan keahlian yang begitu banyak.

Jadi, dari segi rangkaian jentera kita, PAS kukuh dan meluas kepada setiap daerah mengundi dan malah di sebahagian besarnya lokaliti terletak di kampung-kampung di Kedah. Inilah kekuatan asas kita di Kedah.

Keduanya, di setiap peringkat parti, cawangan dan kawasan memiliki pusat pergerakan – kita tidak bergerak di rumah-rumah ahli dan sebagainya iaitu kita tidak melaksanakan operasi dengan sekadar menumpang di rumah ahli-ahli – semua gerak kerja berpusat di markas, dan ini bagi saya satu yang sangat unik pada kelebihan PAS di Kedah.

Yang ketiganya, kita mempunyai kepimpinan dan ahli yang terlatih dalam konteks latihan parti (latihan perjuangan dan tarbiyah) dan latihan menghadapi pilihanraya.

Ini semua akan memberikan satu kelebihan kepada PAS di Kedah.

Terengganu:

TITM: Harapan kita sangat besar untuk kemenangan Terengganu, kerana ia negeri Presiden dan ia pernah berada dalam gengaman kita pada tahun 1999 - maknanya rakyat Terengganu pernah merasai nikmat berada di bawah kerajaan pimpinan PAS, mereka telah merasai bagaimana kerajaan pimpinan PAS menghapuskan tol jambatan Sultan Mahmud, menghapuskan cukai pintu rumah kediaman di kawasan bandar, adanya kuliah di seluruh masjid dan surau, exco mengadakan dialog terbuka dengan rakyat, menyerahkan 25,000 geran tanah kepada rakyat yang memerlukan, bahkan pelbagai nikmat lainnya.

Dengan kata lain, harapan kita agar nikmat ini akan memudahkan kita mencapai kemenangan dalam PRU ke 13 kali ini.

Saya dapat melihat kesungguhan jentera pilihanraya menjalankan tugas, namun kita menyedari betapa besarnya cengkaman wang ehsan kepada golongan miskin, tekanan ekonomi bagi rakyat miskin, serta wujudnya jurang yang besar antara para penyokong PAS dan UMNO.

Diharap dengan kesedaran generasi kedua, mereka akan bangkit untuk melakukan perubahan dan InsyaAllah kita akan mencapai kemenangan.

SA: Terengganu kita juga mempunyai kelebihan yang agak kukuh seperti pengalaman memerintah walaupun sepenggal pada tahun 1999 dan kita ada satu trak rekod yang baik pada urus tadbir dan tiada apa-apa yang diheret ke mahkamah oleh SPRM.

Kelebihan satu lagi pada PAS ialah pasukannya berpengalaman dari segi politik dan perpecahan UMNO yang berlaku hari ini. Itu harus diambil kesempatan yang sebaiknya untuk kita maksimakan tahap keyakinan rakyat terhadap PAS.

MO: Setiap negeri mempunyai kelebihan tersendiri – ditambah pula dengan kepimpinan PAS Terengganu yang berpengalaman dan perpecahan UMNO antara kem Menteri Besar Datuk Ahmad Said dengan bekas Menteri Besar Idris Jusoh, PAS berpeluang agak cerah untuk merampas semula Terengganu ke pangkuannya.

No comments: