Thursday, December 9, 2010

Seniman dan budayawan beri sokongan pada Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 10 Dis. : Setelah mengisytiharkan tujuh kampung tradisional sebagai Kampung Warisan yang dimasukkan dalam Draf KL 2020, Madrasah Tarbiah Kampung Bandar Dalam menjadi lokasi himpunan sekumpulan seniman dan budayawan prihatin berkumpul menyatakan sokongan.

Penduduk Kampung Sungai Mulia, Kampung Merali, Kampung Padang Balang, Kampung Bandar Dalam, Kampung Puah, Kampung Puah Seberang dan Kampung Chubadak gembira menyaksikan himpunan seumpama itu.

(Gambar kanan: Antara seniman, budayawan dan tokoh masyarakat yang turut hadir sebagai sokong kepada perjuangan penduduk setempat.)


Draf KL 2020 itu mendapat tentangan hebat dari penduduk kampung yang rata-rata merupakan pewaris turun temurun dari nenek moyang dan ibu bapa mereka yang datang dari Indonesia sekitar tahun 1830-an dahulu termasuk menerokai Kuala Lumpur.

Antara seniman dan budayawan yang hadir adalah Seniman Negara, Datuk (Dr) A Samad Said, Sasterawan Rakyat, Azizi Haji Abdullah, Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamad selain Presiden Budayawan Bertindak, (Dr) Dinsman, Penyair, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan Ketua Kampung, Cikgu Ishak Surin.

Majlis yang berlangsung kelmarin itu bermula sejak petang hari hingga ke jam 11 malam. Berbagai acara seperti lagu puisi, deklamasi sajak dan pentomen turut dipersembahkan mengiringi ucapan dari tokoh yang hadir.

Datuk A Samad Said dalam ucapannya sebelum membacakan sajak Jikanya berkata, sangat malang jika kuasawan berbelang niagawan yang melihat semua kampung sebagai kantung mereka.

(Kiri: Nyanyian lagu puisi oleh Rahmat Haroun menyemarakkan suasana himpunan malam itu.)


Menurut salah seorang AJK Penganjur, penyair Pyan Habib, himpunan ini adalah perihal tujuh kampung tradisi di pinggir Kuala Lumpur, bersempadan dengan Daerah Gombak, Selangor yang terlibat dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 atau juga disebut Draf KL 2020.

“Apabila beberapa buah Kampung Melayu (terakhir) yang masih wujud dalam sekitaran kota metropolitan Kuala Lumpur ini hendak dihapus dan dipadamkan daripada peta tamadun kebanggaan kita - apakah kita sebagai manusia tidak tersentuh apa-apa?” soalnya.

Sebuah buku bertajuk Kampung Warisan Antologi Sajak 56 Penyair telah diusahakan penerbitannya sebagai tanda bertulis sokongan seniman dan budayawan terhadap perjuangan suci penduduk tujuh kampung pertahankan tanah pusaka berharga mereka.

Pada malam itu, peluncuran antologi itu telah disempurnakan oleh Syed Shahir yang turut berucap selepas ucapan Cikgu Ishak yang bersemangat dengan fakta sejarah yang tidak boleh dipertikainkan lagi.

Cikgu Ishak, lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan negara yang masih ada dan sering menjadi rujukan mereka yang memerlukan info sejarah yang benar dan tulin.

Menurutnya, keluarga mereka tinggal di tujuh kampung itu sejak sebelum negara merdeka hinggalah ke hari ini namun tidak pernah sekali pun, pihak berwajib datang untuk berbincang bagaimana hendak dibangunkan semua tujuh kampung warisan itu.

(Gambar sebelah: Budayawan, pelukis dan penulis, Prof Dr Siti Zainon Ismail sedang diwawancarai ketika sedang melukis.)


“Kerana itu, kami telah sepakat dan bermuafakat akan tetap dan terus mempertahankan kampung kami ini dari diambil atau dilupusmilik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Anak-anak muda kami di sini juga bersepakat memasang bendera berwarna hitam sebagai tanda perjuangan berkobar pertahankan hak kami dari dirampas,” tegasnya disambut dengan laungan Allahu Akbar dan tepukan bergemuruh.

Sementara itu, Prof Dr Siti Zainon pula berkata, jika Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya menghantar memorandum Kembalikan Hak Air kepada rakyat negeri itupada 5 Disember lalu kepada Istana Negara, tidak lama lagi memo dari Kampung Warisan ini juga akan dihantar ke Parlimen untuk tujuan menarik perhatian pihak berkenaan.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT


No comments: