Thursday, December 2, 2010

Ust. Taib Azamudden jawab fitnah terhadap PAS Kedah

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgQ-b2WACTM0w7U5eiKnj9XY0fHO__KIQfiRJ-cHOlnMT06p3oPtFFm5OJ698UfX5KHlpLexRSF9Xv-QPFyX0Y-96CxDSCQoSc5R6f9R2y0Ytwpi76V0VCIyV8w1gPCNjhH4jl0GrZaZKg/s320/taib%2520azam%5B1%5D.jpg

ALOR SETAR, 2 Dis. : Kepimpinan PAS Kedah tidak bermasalah dan tidak berpecah kepada puak-puak atau tidak sehaluan apabila satu pihak didakwa menyokong pemodenan dalam PAS, dan selebihnya berpaksi kepada amalan tradisional parti.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kedah, Taib Azamudden Md Taib berkata, isu yang cuba dibangkitkan pihak tertentu itu nyata berniat jahat apabila cuba menimbulkan situasi tegang dalam PAS dengan membuat kenyataan tidak berasas.


“Semua PAS kawasan menyokong penuh kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Tidak timbul isu tidak sehaluan walaupun ada masa kita bercanggah pendapat. Malah selepas pilihan raya umum lalu, banyak cawangan baru diwujudkan di daerah-daerah,” katanya.

Taib Azamudden turut menyangkal dakwaan kononnya wujud permasalahan dalaman parti yang cuba ‘disembunyikan’ daripada pengetahuan luar sehingga memaksa ahli-ahli PAS berdiam diri kerana takut pada kepimpinan tertinggi PAS, termasuk Pesuruhjaya PAS Kedah.

“Itu semua karut! Saya percaya senario itu tidak wujud, ianya sengaja digembar-gemburkan untuk meretakkan perpaduan dalam parti. Jika bercakap soal masalah dalam parti, semua parti mengalaminya cuma bezanya, serius atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, setiap parti ada kelebihan dan kekurangan tersendiri dan ahli sepatutnya menerima dengan hati terbuka, selain cuba membuat penambahbaikan untuk memantapkan parti.

“Kekuatan PAS adalah kerana kita berpegang pada al-Quran dan hadis dalam perjuangan. Saya percaya ahli tidak keberatan balik kepada ajaran jika keadaan memaksa. Jika ada pihak mempertikai perjuangan PAS, mereka hendaklah komen berdasarkan sunnah, bukan ikut hawa nafsu atau berpandukan fitnah,” katanya.

Taib Azamudden berkata, PAS Kedah tidak pernah meminggirkan rakan komponen termasuk parti lawan dalam mana-mana isu berbangkit.

“Dalam isu banjir baru-baru ini, kita bantu semua tanpa mengira fahaman politik. Mungkin ada segelintir pihak yang ada kepentingan peribadi menggunakan isu tertentu untuk menjatuhkan pihak lain,” katanya.

Menurutnya, apa yang dilemparkan kepada PAS mungkin adalah andaian pihak luar yang tidak terbabit secara langsung dalam kepimpinan parti, atau boneka UMNO yang diberi mandat untuk memporak-perandakan PAS.

Mengulas mengenai kenyataan bekas ahli PAS, Zainol Ismail yang juga penulis buku ‘Mohd Sabu Air Mata di Bumi Memali’ yang kesal dengan sikap Dewan Pemuda PAS Pusat yang menghalang penjualan buku itu di majlis memperingati 25 tahun Memali, Baling, baru-baru ini, Taib Azamudden yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, Zainol tidak seharusnya ‘menghentam’ PAS menerusi buku, sebaliknya patut bersemuka dalam isu ini.

Zainol turut menyelar Ahli Parlimen mewakili PAS supaya telus. Jika tidak, mereka tidak layak bercakap dan mempertikaikan salah laku pihak lain.SH

No comments: