Thursday, December 2, 2010

Yakin kerajaan PAS amanah ,Tabung Serambi Mekah terima RM 4.9 juta

KOTA BHARU, 2 Dis: Akaun Amanah Kebajikan Darulnaim atau Tabung Serambi Mekah hari ini berjaya mengumpul sejumlah RM4.9juta hasil sumbangan orang ramai, korporat, agensi kerajaan dan badan berkanun.

Majlis Perasmian Pelancaran Kutipan Derma Tabung Serambi Mekah yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang mewakili Menteri Besar tersebut turut menyaksikan pelancaran penggunaan mesin mlektronik (gambar) bagi penyaluran sumbangan derma iaitu melalui kad kredit dan kad debit.

Turut hadir Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasruddin Daud, Exco negeri dan wakil-wakil rakyat.

Ahmad ketika merasmikan majlis tersebut berkata, kewujudan Tabung Serambi Mekah di awal pemerintahan PAS dulu adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh kerajaan yang telah berlainan dengan Persekutuan.

Menurut beliau, tujuan utama penubuhannya ialah untuk menyalurkan bantuan segera kepada rakyat yang memerlukan terutamanya mereka yang ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, banjir, berpenyakit kronik dan sebagainya.

“Ia juga ditubuhkan bagi diberi peluang kepada seluruh rakyat terutamnya yang berkemapuan untuk bersama-sama kerajaan membantu mereka yang memerlukan dan, Alhamdulillah sehingga kini tabung ini berjalan dengan baik hasil kutipan derma dari orang ramai dan syarikat,” ujar beliau.

Beliau juga berkata bagi tempoh kutipan derma tahun 2009 dan dibelanjakan pada tahun ini, keseluruhan jumlah penerimaan ialah RM3.353 juta dan telah disalurkan kepada pelbagai keperluan seperti mangsa banjir, kemudahan asas, kebakaran dan lain-lain berjumlah lebih kurang RM2.623juta.

“Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada seorang hamba Allah yang merupakan anak jati Kelantan dan merupakan usahawan terkenal yang tidak jemu-jemu membantu Tabung Serambi Mekah dalam meneruskan bakti kepada rakyat negeri ini dan tahun ini pula beliau telah menyumbang sejumlah RM3 juta,” katanya lagi.

Orang ramai masih lagi boleh menyalurkan sumbangan derma melalui akaun yang telah diwujudkan iaitu melalui akaun Bank Islam bernombor 3018010028774 (sumber halal) dan 3018010045654 (sumber tidak halal).

Tabung tersebut juga dikenali dengan nama Akaun Amanah Kebajikan Darulnaim telah ditubuhkan pada bulan Febuari 1991 di bawah Seksyen 9 (1) dan 9(3) Akta Acara Kewangan (1957) disemak (1972).

No comments: