Wednesday, January 19, 2011

Anwar terus cabar Najib debat

Anwar Tegas Terus Debat Dengan Najib, Minta Bernama Tarik Balik Laporan


KUALA LUMPUR 20 Jan. : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak berganjak daripada hasratnya meneruskan debat terbuka dengan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai Program 100 Hari Pakatan Rakyat dan kedudukan ekonomi negara.

"Saya memandang serius laporan Bernama bahawa saya tidak mahu berbahas secara terbuka dengan Datuk Seri Najib.

"Laporan tersebut kononnya memetik kenyataan saya di Alor Setar ketika Majlis Wacana Maqasid Syariah di Kolej Insaniah Alor Setar petang tadi (semalam).

"Saya tegaskan di sini, saya sedikitpun tidak berganjak dari kenyataan sebelumnya serta hasrat yang terkandung dalam surat rasmi berniat mempelawa Perdana Menteri untuk berdebat secara terbuka demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi.

Sehubungan itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat berharap Bernama akan menarik balik dan membetulkan laporannya semalam di bawah tajuk "Saya tidak ajak Perdana Menteri berdebat, hanya berbincang - Anwar".

Laporan itu antara lain menyebut, Anwar tidak pernah mengajak Najib untuk berdebat mengenai Program 100 Hari Pakatan Rakyat, sebaliknya hanya mahu berbincang.

Katanya, ia adalah perbincangan terbuka secara baik melibatkan pihak Perdana Menteri dan pihaknya yang mewakili Pakatan Rakyat.

"Ia perbincangan secara baik... kita tengahkan pandangan kita, mereka jawab dan kemukakan pandangan mereka. Tapi mereka tak setuju. Sebelum ini kita ajak menerusi media. Semalam surat menyusul. Respons tak begitu baik," katanya di Alor Setar.

Anwar juga dipetik berkata, menerusi perbincangan itu pihak beliau dan pihak Najib akan mengemukakan alasan masing-masing untuk rakyat menilainya.

Katanya, beliau memilih untuk berbincang dengan Najib kerana Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada ekonomi.

"Sewaktu perbincangan dia boleh kemukakan program ekonominya seperti ETP (Program Transformasi Ekonomi) dan yang lain-lain," katanya.

Beliau berkata ia bukanlah sesuatu yang membuang masa kerana ia bertujuan memberi penjelasan kepada rakyat tentang program ekonomi.

Dalam kenyataan dikeluarkan kelmarin, Anwar membuat pelawaan kedua kepada Najib agar berdebat dengan beliau berhubung kedudukan ekonomi negara dan juga mengenai Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Ketua Umum PKR membuat pelawaan kedua itu menerusi surat rasmi kelmarin susulan yang pertama 11 Januari lalu.

Anwar berkata beliau membuat pelawaan kedua itu selepas tiadanya respons daripada Najib.

Salinan surat itu juga diedarkan kepada media ketika secara kebetulan Najib membuat kenyataan di Tenang, Labis agar Anwar jangan membuat cabaran berdebat supaya tidak "demam".

Najib berkata, Anwar sewajarnya jangan terlalu mendesak untuk berdebat kerana beliau mempunyai pelbagai maklumat yang boleh menyebabkan ketua pembangkang itu "demam" kelak jika dibongkarkan ketika berdebat.

Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau sebenarnya tidak gentar untuk berdebat dengan Anwar tetapi menyifatkan tindakan berdebat itu hanya akan membuang masa kerana pembohongan ketua pembangkang itu dan kegagalannya menunaikan janji.

Sementara itu dalam kenyataanya, Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata pihaknya mahu Najib menerima pelawaan Anwar untuk berdebat.

Katanya, debat ini penting bagi melihat hujah dan fakta yang dilontarkan antara Perdana Menteri mewakili kerajaan Malaysia dengan Anwar selaku ketua pembangkang di Parlimen.

"Dewan Pemuda PAS Wilayah merasakan rakyat berhak mengetahui apakah kandungan yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga benar-benar realistik ataupun retorik semata-mata.

"Perdana Menteri pula boleh mengemukakan hujah balas dengan mengemukakan apakah sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh kerajaan selama ini terhadap rakyat," kata beliau.

Malah kata beliau, debat antara kedua-dua tokoh negara ini bakal menjadi mercu tanda negara yang mengamalkan demokrasi sihat.

"Ia bakal memahat sejarah tersendiri apabila seorang Perdana Menteri mampu berhadapan dengan sesiapa sahaja demi kepentingan rakyat dan negaranya.

"Rakyat pula akan mengenang dan menghormati Perdana Menteri Malaysia sebagai PM yang paling 'gentleman', berjiwa rakyat, tidak beretorik, dan berjiwa besar sekiranya penerima pelawaan debat ini," katanya lagi.

No comments: