Wednesday, January 19, 2011

PR perintah Malaysia : Kerajaan akan ambil alih lebuhraya, rendahkan tol

Tony Pua : Rakyat Dapat Jimat Perbelanjaan Jika Lebuhraya Diambil Alih Kerajaan


KUALA LUMPUR 19 Jan. : Rakyat dapat menjimatkan perbelanjaan harian mereka dengan tidak perlu membayar tol lebuh raya sekiranya Pakatan Rakyat mentadbir negara kelak, kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Menurut Pua, Pakatan Rakyat dalam janji 100 harinya berikrar akan memastikan lebuh raya di negara ini dikendalikan oleh pihak kerajaan dan bukannya syarikat konsesi yang berorentasikan keuntungan semata-mata.

Kerajaan Umno-BN katanya sering menakutkan rakyat dengan dakwaan negara akan bankrap jika negara jatuh ke tangan Pakatan Rakyat namun hakikatnya, kerajaan Umno-BN terus membebankan rakyat dan tidak mempunyai keinginan untuk meringankan beban rakyat.

" Tak mungkin perbelanjaan sebanyak RM20 bilion akan mengakibatkan Malaysia bankrap. Tak mungkin," kata Pua.

Bercakap pada Forum Janji 100 Hari Pakatan Rakyat di ibu negara malam tadi, kata Pua, kerajaan Umno-BN sebelum ini berkata, kerajaan tidak mampu mengambil alih lebuh raya di negara ini kerana jumlahnya yang besar iaitu RM500 bilion.

Malah, pengambilalihan lebuh raya itu dilihat sebagai perkara yang mustahil untuk dilakukan oleh Pakatan Rakyat jika mentadbir negara ini kerana ia akan mengakibatkan kerajaan kehabisan dana.

" Tetapi apabila kita baca perjanjian-perjanjian ini, kita nampak ada satu klausa di mana kerajaan berhak untuk mengambil alih kesemua kecuali Lebuh Raya Utara Selatan tetapi untuk semua lebuh raya lain, kerajaan berhak mengambil alih dengan kos pembinaan," kata Pua.

Putar belit kerajaan Umno-BN itu kata Pua, hanyalah untuk keuntungan mereka sedangkan rakyat Malaysia katanya berhak untuk bebas tol dalam masa tidak sampai 10 tahun dengan pengurusan yang telus.

" Maksudnya cara kita hendak bebaskan tol senang sebab kita tidak mengira kadar tol yang keterlaluan ke atas rakyat di mana ia menyebabkan pihak konsesi mendapat keuntungan yang cukup lumayan. Kerajaan tidak perlu membuat keuntungan sebegitu," katanya.

Tambah Pua, kerajaan hanya perlu membayar harga kos pembinaan kepada syarikat konsesi untuk mengambil alih lebuh raya dan 12 peratus daripada jumlah pungutan yang diperoleh syarikat konsesi ketika mengendalikan lebuh raya terbabit.

Malah menurut Pua, kos tersebut jauh lebih rendah berbanding RM500 bilion seperti yang dikatakan kerajaan sebelum ini.

" Kalau benar pun, ini salah kerajaan Barisan Nasional, kenapa tulis perjanjian konsesi kos pembinaan RM50 bilion tetapi hendak ambil alih RM500 bilion," tambah Pua.

No comments: