Wednesday, January 5, 2011

Menuju PAS baru : Cari kata sepakat lebih baik

Mujahid saran wacana 'Menuju PAS Baru'

PULAU PINANG, 6 Jan: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa menyarankan supaya diadakan wacana atau diskusi untuk membincangkan isi kandungan bukunya 'Menuju PAS Baru' bukan bertelagah dalam akhbar sehingga membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengambil kesempatan.

Katanya, bertelagah menerusi akhbar tidak boleh mendapat kata sepakat bahkan mengeruhkan lagi perhubungan yang selama ini terbina atas landasan tarbiyah yang kukuh.

Lagipun, ujarnya wacana atau diskusi dapat membawa budaya yang sihat dan keterbukaan terhadap pandangan yang terbuka sesuai dengan asas masyarakat untuk melahirkan pemikiran yang telus dan matang.

(Gambar fail: Mujahid dan Dr Aziz Bari ketika melancarkan buku "Menuju PAS Baru" dan "Kita kan Orang Malaysia")

"Adakan wacana atau diskusi untuk menghilangkan kekeliruan dari sudut istilah-istilah yang digunakan dalam buku Menuju PAS Baru yang saya tulis bukan masuk akhbar pro kerajaan mengatakan ketidak puasan hati," ujarnya.

Lagipun, tambahnya buku tersebut hanya menyentuh betapa perlunya beberapa pengubahsuaian organisasi parti sendiri demi masa depan PAS yang akan menjadi parti arus perdana dalam negara ini, tidak langsung mengkritik dasar perjuangan yang telah dimeterai sejak dulu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menambah, segala pandangan yang dilemparkan semuanya ikhlas untuk memastikan PAS menjadi lebih kukuh dan bukan sebaliknya.

Katanya, hujah yang membina wajar diketengahkan menerusi saluran yang dibolehkan dalam parti mahupun Islam sebab pandangan baik perlu diambil jika mahu melihat parti semakin kukuh untuk menggantikan Umno di Malaysia.

"Saya berusaha untuk melihat masa depan PAS dengan mengambil kira aset perjuangan PAS selama hampir 50 tahun lebih. PAS juga melalui fasa-fasa kepimpinanya dan buku Menuju PAS Baru hanyalah garapan saya terhadap masa depan organisasi PAS yang perlu difikirkan oleh generasi muda dalam PAS," tambahnya.

Beliau bersedia turun ke wacana dan diskusi tersebut jika ada pihak yang menganjurkanya demi menghilangkan kekeliruan yang ada dan tidak timbul soal mahu memecahbelahkan parti atau menghentam parti secara semberono

“Saya amat sayangkan parti penyelamat ini,” katanya.

No comments: