Wednesday, January 5, 2011

Ada unsur boikot , sabotaj oleh puak Songkok Tiga Jengkal dalam GLC

Ada unsur boikot, sabotaj dalam kepimpinan GLC

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgWimGVa3_lbQlqSnpZygwQUik2ON2Ik2-_flB-MPqke50otUZJEZWzLlJ0CSuRHi1NviOUXfsQ5lN6nf0yIBzD2goxWV-UgAHKRXdnXCIA0XOwrDnjv7ubrMMVvhz6uAfwSfQohJ-PjrNU/s1600/ahmadkasim.jpgALOR SETAR, 6 Jan. : Terdapat unsur boikot dan tidak puas hati dengan polisi diperkenalkan Kerajaan Negeri dalam kalangan kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Kedah sehingga membantutkan keputusan yang dipersetujui lembaga pengarah syarikat terbabit.

Ahli Lembaga Pengarah Permodalan Kedah Berhad (PKB), Ahmad Kassim berkata, rasa tidak puas hati itu timbul memandangkan kebanyakan pengurus GLC itu merupakan muka lama yang masih dikekalkan berdasarkan faktor perundangan dan mempunyai sentimen kepartian yang menebal.

Menurutnya, di sebalik wujud polemik boikot dan kronisme dalam kalangan pengurus beberapa GLC, Kerajaan Negeri terpaksa mengambil sikap bertolak ansur bagi menjaga hubungan jangka masa panjang dengan kakitangan syarikat terbabit di samping tidak mahu tergopoh-gapah dalam membuat sesuatu keputusan.

“Selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri daripada Barisan Nasional (BN), satu perubahan dengan menukar pengerusi, ahli lembaga pengarah dan pengurus besar serta ketua pegawai eksekutif (CEO) setiap GLC milik anak negeri dibuat untuk melancarkan lagi urusan.

“Bagaimanapun, terdapat sebahagian CEO dari rejim lama yang tidak boleh digugurkan atas faktor perundangan dan mereka inilah yang sering membuat kacau dan mengingkari keputusan yang dibuat lembaga pengarah atas sebab perbezaan fahaman politik,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian, semalam.

Ahmad yang juga Pengerusi PKR negeri berkata, perubahan yang dilakukan Kerajaan Negeri di peringkat lembaga sejak dua tahun lalu hanya menyentuh aspek ketelusan dalam pentadbiran GLC bagi membanteras sebarang bentuk amalan kronisme dan korupsi oleh segelintir pemimpin tertentu.

Bagaimanapun, pendekatan Kerajaan Negeri itu tidak disenangi kebanyakan pengurus syarikat GLC di negeri ini sehingga kadang-kala timbul unsur sabotaj yang berniat menjatuhkan imej Kerajaan Negeri.

“Kita menghormati pengekalan beberapa muka lama sebagai pemimpin syarikat GLC bagi mengelakkan wujudnya krisis dalaman yang merosakkan masa depan syarikat itu sendiri.

“Bagaimanapun, saya agak kecewa dengan tindakan segelintir mereka yang seolah-olah cuba mensabotaj imej Kerajaan Negeri dan sengaja tidak melaksanakan perancangan diputuskan lembaga pengarah dengan jayanya,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad menggesa pentadbiran Kerajaan Negeri berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan masalah dalaman membabitkan beberapa syarikat GLC di negeri ini bagi mengelakkan lebih banyak kerugian dialami.

“Saya percaya masalah dalaman ini wujud disebabkan segelintir pengurus GLC masih tidak mengiktiraf pentadbiran Kerajaan Negeri dan memandang rendah kepada mereka.

“Justeru, satu mekanisme penyelesaian terbaik perlu dibuat bagi memastikan semua GLC di Kedah berjalan lancar dan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
SH

No comments: