Saturday, January 15, 2011

Mursyidul Am PAS rai blogger

Nik Aziz akan hadir majlis bersama blogger

http://dinmerican.files.wordpress.com/2010/04/nik-aziz.pngKOTA BHARU, 14 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau tetap menghadiri majlis bersama blogger pro-Pakatan Rakyat yang dijadual diadakan esok di sebuah hotel di Kuala Lumpur mulai 8.00 malam.

Beliau yang juga Menteri Besar menaruh keyakinan bahawa program yang diatur sempena Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama blogger itu memberi ruang yang baik kepadanya untuk berucap.

Majlis yang dijangka turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu diadakan bagi membincangkan banyak perkara termasuk peranan yang mungkin boleh dimainkan peserta itu bagi membantu Pakatan Rakyat dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-13 khususnya.

“Oleh itu besok saya akan memberi penerangan sama ada mereka mahu mendengarnya atau pun tidak, terserah kepada mereka.

“Saya bersedia berjumpa mereka yang dianggarkan seramai 150 orang, dan perjumpaan itu tidak sulit,” katanya kepada media pada kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini hari ini.

Mengulas terdapat tulisan ‘mengarut’ yang ditulis sesetengah blogger di laman mereka, beliau berkata, usahkan blogger berbuat demikian, bahkan anak sendiri sekiranya menulis perkara ‘mengarut’ akan dimarahi.

“Sama ada blogger, tuk guru atau ibu bapa, serupa saja. Hidup atas dunia ini mestilah faham bahawa kita adalah menumpang di bumi Allah SWT.

“Oleh kerana kita menumpang segala perkara termasuk padi beras yang dimakan atau udara untuk bernafas, hatta manusia itu sendiri dijadikan Allah SWT, maka kita tidak boleh menderhakan Allah,” katanya.

Beliau menolak bahawa perjumpaan itu memberi ruang kepadanya untuk memberi penjelasan tentang perjumpaan yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

No comments: