Saturday, January 15, 2011

Terengganu banyak sumber air tapi rakyat tak merasa keuntungannya

Khalid Ibrahim : Terengganu Berpotensi Jadi Negeri Pembekal Air


KEMAMAN 16 Jan. : Terengganu berpotensi besar menjadi negeri pembekal air yang baik sekiranya ditadbir oleh Pakatan Rakyat kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid menyatakan Terengganu mempunyai empangan yang baik serta mampu mengatasi masalah bekalan air negara ini dan membantu rakyat menikmati hasil mahsul negeri ini seperti yang dilakukan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

"Pada saya, bila saya tengok Terengganu ini, dia bukan sahaja boleh jadi tokey minyak, malah juga boleh jadi tokey air. Sebab ada empangan besar di Terengganu, tak payah nak buat lagi, buat paip sahaja untuk hantar sampai ke Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor," kata beliau di hadapan lebih 20 ribu hadirin sempena Program Ceramah Selamatkan Malaysia sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat, PAS ganti UMNO di sini.

Kerajaan negeri Selangor telah berjaya melaksanakan skim pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu seunit kepada setiap rakyat dan penduduk Selangor sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negeri hampir 3 tahun lalu.

Khalid turut bersedia membantu negeri ini sekiranya penduduk Terengganu berjaya mengubah kerajaan Terengganu yang diterajui UMNO-BN sekarang kepada Pakatan Rakyat bagi mengelakkan Kerajaan UMNO BN menggunakan hasil air bagi mengkayakan kroni mereka sendiri seperti di Johor.

"Johor yang jual air kepada Singapura lebih murah dari jual kepada rakyat Johor sendiri. Ini kes teruk. Ini kes gila.

"Kita bagi air percuma 20 meter padu. Terengganu apabila diambil alih Pakatan Rakyat nanti boleh bagi air percuma. Saya boleh datang dan tunjukkan bagaimana. Kita boleh buat sama-sama, kata beliau.

Terengganu sebelum ini pernah diterajui oleh PAS pada tahun 1999 melakukan beberapa rombakan pentadbiran dan polisi mesra rakyat bagi membantu rakyat negeri itu sebelum dirampas kembali UMNO pada tahun 2004.

Khalid menegaskan rakyat Terengganu perlu menyedari perkara ini dan memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk tidak ketinggalan menikmati pentadbiran yang telus, cekap dan efisien seperti negeri Pakatan Rakyat yang lain.

"Seperti di Selangor, Kalau PAS dapat memerintah bersama Pakatan Rakyat di Terengganu, ia akan lebih baik dari BN dan UMNO.

"Kita ambil balik dan beri kembali hak rakyat. Ini UMNO tak buat. Tak tau nak buat. Macam mana saudara nak pilih dia lagi? PAS nak gantikan UMNO itu betul sebab di Selangor dah betul, macam mana di Terengganu tak akan betul?," kata beliau disambut sokongan hadirin ceramah ini.

No comments: