Monday, January 3, 2011

Pemain bolasepak Kedah bakal terima imbuhan khas

Kedah hargai jasa anak negeri

http://www.pembangkangselangor.com/wp-content/uploads/2010/12/win.jpgALOR SETAR, 3 Jan. : Pemain Kedah yang beraksi cemerlang pada Piala Suzuki AFF sehingga membawa kepada kejayaan pasukan negara membawa pulang piala berkenaan setelah 14 tahun menanti, bakal menerima imbuhan khas daripada Kerajaan Negeri sebagai penghargaan.

Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warian, Kebudayaan, Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, kejayaan pasukan itu turut terpalit pada pasukan Kedah apabila lima pemain skuad Kenari beraksi dalam skuad negara.

“Kita sudah pun membincangkan imbuhan wang sagu hati kepada pemain terbabit sebagai menghargai kesungguhan mereka mengharumkan nama negara, sekali gus menaikkan nama Kedah pada persada bola sepak negara pada mesyuarat agung Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) lalu, namun jumlahnya belum diputuskan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat KFA berkata, nilai sagu hati itu akan dibincangkan semula dalam mesyuarat eksekutif persatuan berkenaan dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai kejayaan pasukan negara menumpaskan pasukan Indonesia dalam kejohanan itu, Dr Hamdan berkata, pemain hendaklah menunjukkan prestasi memberangsangkan secara berterusan dan tidak hanya bertumpu pada kejohanan yang berprestij sahaja.

“Walaupun kita meraikan kejayaan mereka namun ingin saya ingatkan pemain supaya jangan terlalu ghairah dengan kemenangan yang dicapai. Mereka mesti bijak mengawal situasi dalam perlawanan akan datang sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa,” katanya.

Lima pemain yang akan mendapat habuan itu ialah Amar Rohidan, Mohd Sabree Md Abu, Mohd Khyril Muhymeen Zambri,Mohd Faizal Abu Bakar dan Khairul Hilmi Johari.

Selain itu, penolong jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe juga berasal dari negeri ini.

Dua lagi pemain regular skuad kebangsaan dari Kedah tetapi tidak dapat diturunkan untuk kejohanan itu akibat kecederaan ialah Baddrol Bakhtiar dan Mohd Azmi Muslim.

Dr Hamdan yakin kecemerlangan bola sepak negeri ini akan kembali ‘menyengat’ tahun ini memandangkan Kedah dibarisi tujuh pemain kebangsaan.

“Saya yakin pada semua pemain Kedah 2011 bakal menjanjikan kejayaan lebih cemerlang. Pasukan Kenari kali ini boleh menjadi satu pasukan yang berkemampuan untuk cemerlang dalam semua kejohanan,” katanya.SH

No comments: