Monday, January 3, 2011

Pulau Pinang sudah laksana, negeri lain bila lagi?

Beg Plastik: CAP Puji Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang


SHAH ALAM 3 Jan. : Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengurangkan penggunaan beg plastik di negeri itu bermula tahun ini.

Beliau turut menggesa supaya pelaksanaan itu diselaraskan ke seluruh negara memandangkan kesan buruk jangka panjang oleh beg plastik mampu memberi kemudaratan kepada alam sekitar.

"Kita setuju. Kita sokong lebih 100 peratus.

"Seperti yang saya cakap, saya sangat setuju dan kita telah mengusahakannya sejak 20 tahun dahulu. Saya rasa ia patut dilaksanakan di seluruh negara kerana apabila kita pergi lihat tapak pembuangan sampah, semua sampah penuh dengan plastik. Ia telah di larang di India, Bangladesh sejak sekian lama," jelas beliau ketika dihubungi Tv Selangor pagi tadi.

Kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengambil langkah positif mengurangkan penggunaan beg plastik di negeri itu dengan melaksanakan 'Hari Tanpa Beg Plastik' setiap hari.

Sehingga berita ini ditulis ada perkembangan positif yang melaporkan kerajaan persekutuan bakal mengikut jejak kerajaan Pulau Pinang.

Bagaimanapun usaha baik kerajaan negeri ini dikritik oleh parti Gerakan yang disokong oleh Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (PPPM) yang melihat usaha tersebut mendatangkan kerugian kepada pengusaha plastik di negeri itu akibat kurangnya permintaan.

Melalui tinjauan pejabat CAP ke pasaraya hari ini, SM Mohamed memberi tahu Tv Selangor bahawa pembeli tidak mahu membayar harga 20 sen bagi sehelai beg plastik justeru menggalakkan mereka untuk membawa beg sendiri.

"Saya diberitahu setiausaha saya hari ini di pasaraya di sini, mereka kata tiada beg plastik percuma dan sekiranya bayar 20 sen, ramai orang tidak mahu. Mereka mahu bawa beg sendiri dan pelbagai cara lain. Jadi tiada masalah langsung," jelas beliau lagi.

Pulau Pinang mengenakan bayaran 20 sen pada setiap beg plastik di semua pasaraya, farmasi, dan restoran makanan segera pada hari Isnin Selasa dan Rabu setiap minggu bermula tahun 2011.

Namun gerai makanan dikecualikan daripada arahan tersebut.

No comments: