Saturday, January 8, 2011

Pemain Kedah dapat tanah

Wira Skuad Kenari dapat tanah

http://api.ning.com/files/5RyCGSGdBanOn4EotqsfV3iAQRBQdrfh*5DWIHX5q60yTdqvL5eUDIvLSqrj59gK2qmXUJ3T2F5R1Ar92NdiCBOVXlzKwGDT/KFA.jpgALOR SETAR, 9 Jan. : Janji pemberian tanah tapak banglo kepada barisan pegawai dan pemain Kedah yang merangkul gelaran treble Liga Malaysia musim 2007 dan 2008 akan ditunaikan tahun ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, pemberian lot tanah banglo yang dianggarkan seluas 550 hingga 745 meter persegi di daerah Pokok Sena sudah diluluskan dalam kongres persatuan itu Disember lalu.

Menurutnya, pengagihan lot banglo itu sudah dibuat oleh Kerajaan Negeri, cuma proses penukaran hak milik kepada pemain dan pegawai yang terlibat masih belum dilakukan.

“Saya menyifatkan keupayaan Kerajaan Negeri dan KFA menunaikan janji pemberian tanah dalam tempoh dua tahun sebagai satu kejayaan berbanding pemain negeri Pahang musim 1996 yang hanya menerima pemberian tanah 10 tahun selepas dijanjikan.

“Proses penukaran hak milik lot tanah kepada semua pegawai dan pemain Kedah dijangka selesai akhir tahun ini dan saya berharap tiada pihak yang akan mempersoalkan ketelusan Kerajaan Negeri menunaikan janji kepada mereka yang berjasa kepada negeri dalam bidang sukan,” katanya.

Dr Hamdan turut menegaskan, lot banglo yang dihadiahkan tidak boleh dijual beli oleh penerimanya kerana Kerajaan Negeri akan menetapkan status ‘anugerah’ atas pemberian itu.

“Pemberian tanah diberi sebagai penghargaan Kerajaan Negeri atas kejayaan luar biasa mereka merangkul kejuaraan treble pada musim 2007 dan 2008 dan saya berharap mereka yang dapat, menghargai hadiah itu dengan tidak menjualnya kepada orang lain,” katanya.

Pemberian tanah itu diumumkan Menteri Besar yang juga Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada Malam KFA 2009.

Menurut Azizan, kejayaan yang diraih skuad Hijau Kuning itu adalah amat luar biasa dan menyifatkan barisan pemain sebagai wira Kedah.

No comments: