Monday, February 14, 2011

Dah nak jatuh baru nak sedar

Alaa dan Gamal Mubarak bertengkar



Pertengkaran sengit antara Alaa dan Gamal Mubarak, dua anak bekas presiden Mesir, berlaku di dalam istana presiden Khamis lepas semasa proses rakaman ucapan terakhir bapa mereka untuk seluruh negara, lapor akhbar milik kerajaan Mesir al-Akhbar Ahad lalu.

Hosni Mubarak dilaporkan sepatutnya mengumumkan perletakan jawatan beliau dalam satu ucapan yang dihantar oleh pihak tentera tetapi Gamal dan pegawai-pegawai kanan menekan beliau supaya menyampaikan ucapan yang berbeza di mana beliau menegaskan untuk kekal berkuasa sehingga September.

Semasa proses rakaman ucapan tersebut, Gamal dan Alaa terlibat dalam satu pertengkaran sengit yang hampir mencetuskan pergaduhan. Menurut laporan tersebut, Alaa menuduh Gamal meletak negara tersebut ke dalam korupsi apabila beliau membantu kawan-kawannya dalam industri perniagaan untuk mendapatkan pangkat dan kuasa politik.

"Daripada berusaha membantu ayah dihormati di penghujung usianya, awak sebaliknya mencemarkan imej beliau dengan cara begini," Alaa dilaporkan sebagai berkata kepada adiknya Gamal, yang merupakan ketua jawatankuasa polisi parti pemerintah.

Pertengkaran tersebut sangat kuat sehingga hampir setiap orang yang berada dalam istana tersebut mendengarnya, lapor akhbar berkenaan, sambil menambah beberapa pegawai kanan kerajaan terpaksa masuk campur untuk mententeramkan mereka.

Akhbar tersebut berkata bahawa Gamal hilang sabar selepas beliau mendengar rakaman ucapan yang sepatutnya disampaikan oleh bapanya malam itu di mana beliau akan mengumumkan perletakan jawatan.

Menurut laporan tersebut, para pegawai Amerika memang telah dimaklumkan tentang rakaman tersebut tetapi tidak pula mengetahui yang Gamal akan menyuruh ayahnya mengabaikannya dan merekodkan ucapan yang berbeza, iaitu seperti yang disampaikan pada malam itu.


Sebelum itu Presiden AS Barack Obama telah memberitahu dalam satu ucapan di Michigan bahawa "kita akan menyaksikan lipatan sejarah dibuka," sebagai tanda Mubarak akan mengundurkan diri. Beberapa jam kemudian, Presiden Obama mendengar sesuatu yang membingungkan: Mubarak tidak berundur. Obama sememangnya tidak tahu yang ucapan perletakan jawatan Mubarak telah dibuang oleh Gamal pada minit-minit terakhir.

Laporan tersebut turut menyebut seorang pegawai kerajaan Mesir sebagai berkata bahawa Mubarak sering mengenepikan "nasihat berguna" dari para pembantunya, sebaliknya menerima hampir kesemuanya dari Gamal, yang sering memperkecilkan gelombang kebangkitan rakyat.

Semasa hari-hari terakhirnya di pejabat, Mubarak menjadi semakin terpencil dalam politik, apabila dilihat sering membuat konsesi ketika tuntutan sudahpun meningkat tinggi.
CAIRO (AlArabiya.net) – beritaislamglobal.blogspot.com

(Translated from Arabic by Mustapha Ajbaili)

No comments: