Friday, February 25, 2011

PRK Kerdau : Pertandingan satu lawan satu antara PAS dan BN



KERDAU 26 FEB : Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PAS dan Barisan Nasional (BN). BN diwakili Naib Ketua Umno bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad manakala PAS diwakili Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim.

Pegawai pengurus pilihan raya kecil itu Datuk Tarif Abdul Rahman mengumumkan calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil itu kira-kira 11.30 pagi selepas tempoh bantahan tamat jam 11 pagi ini.

Menurut Tarif, terdapat satu bantahan diterima tetapi ia telah ditolak.

Terdapat seramai 8,999 pengundi berdaftar di DUN berkenaan, 15 daripadanya pengundi pos.

"Sebanyak 13 pusat mengundi dengan 22 saluran/tempat mengundi," kata Tarif.

Pengundian ditetapkan pada 6 Mac ini.

Pusat Pusat penjumlahan undi rasmi/pengiraan semula undi akan turut diadakan di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh. "Kaum Melayu merupakan pengundi majoriti di kawasan berkenaan iaitu 88.77 peratus (7,988 pengundi), Cina 5.05 peratus (454), India 3.31 peratus (298 orang), Orang Asli 2.62 peratus (236 orang), lain-lain 0.24 peratus (22) dan seorang wakil bumiputera Sarawak," katanya.

Jumlah pengundi wanita melebihi jumlah pengundi lelaki dengan pengundi wanita 4,628 iaitu 51.43 peratus. "Tiga kawasan di DUN berkenaan mempunyai jumlah pengundi lebih daripada 1,000 orang iaitu kawasan Felda Jengka 23 seramai 1,572 orang, Desa Murni (1,343 orang) dan Felda Jengka 22 (1,048 orang)," katanya.

Sementara itu ,penamaan calon Pilihan Raya Kecil N 28 Dun Kerdau yang berlangsung di Dewan Tun Razak Temerloh berjalan lancar tanpa provokasi sebaliknya menyaksikan penyokong Pakatan Rakyat khususnya PAS memenuhi perkarangan luar dewan.

Walaupun berlangsungnya PRK serentak di Merlimau Melaka, namun sokongan dari penyokong tidak pudar walaupun dalam keadaan cuaca yang agak panas.

Adun Taman Medan, Haniza Talha untuk turut hadir memberi sokongan kepada calon PAS di sini hari ini.

Haniza yang juga Timbalan Speaker DUN Selangor ketika ditemui Tv Selangor di luar perkarangan dewan menyifatkan PRK ini adalah satu medium pendedahan awal menghadapi pilihanraya sebenar di PRU nanti.

"Walaupun kita menghadapi dua PRK serentak, tetapi sokongan yang dapat dilihat begitu hebat, dan PRK ini bagi saya adalah satu medium untuk calon mendapat pendedahan awal untuk menghadapi PRU sebenar," katanya.

Tambahnya lagi, walaupun DUN Kerdau ini kubu kuat BN, namun Pakatan Rakyat tetap akan memberi tentangan.

"Kita tahu Kerdau ini tempat BN, namun kehadiran PAS dari Pakatan Rakyat adalah satu cabaran buat BN dan kami akan tetap memberi tentangan kepada parti lawan," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Temerloh, Woo Chee Wan ketika ditemui Tv Selangor berkata DAP di Temerloh memberi sokongan penuh kepada parti komponennya untuk berjuang untuk menundukkan Umno BN di Temerloh.

"DAP Temerloh memberi sokongan penuh kepada PAS untuk berjuang menentang BN, dan PRK ini adalah satu 'warm-up' kepada kami untuk bersiap sedia menghadapai PRU sebenar nanti," katanya.

Woo yang juga bendahari DAP Pahang turut terharu dengan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat yang mewarnai hari penamaan calon di sini.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN pada 12 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim, dengan majoriti 1,615 undi.

No comments: