Wednesday, March 2, 2011

Henti khidmat pejabat pos untuk elak rakyat Kedah tanggung beban

Tindakan tepat: MB

http://3.bp.blogspot.com/_sDHQWqABwwE/S9hjyXIrZNI/AAAAAAAACWE/P6c96DXEHoA/s1600/mb.jpg

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mempertahankan tindakan Syarikat Air Darul Aman (Sada) menghentikan khidmat pejabat pos sebagai ejen kutipan bayaran di Kedah berkuat kuasa Selasa lalu.

Katanya, tindakan Sada itu adalah keputusan yang terbaik untuk keselesaan semua pihak.

“Keputusan Sada adalah tepat kerana Pos Malaysia mahu menaikkan caj komisen yang dikenakan bagi setiap bil daripada 70 sen kepada 90 sen. Kita hentikan khidmat supaya pengguna tidak dibebankan dengan kos tambahan ini dan pada masa sama tidak mahu Sada tanggung kerugian,” katanya pada media, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Azizan yang juga Pengerusi Sada berkata, walaupun Pejabat Pos tidak lagi menjadi ejen kutipan bil air Sada, pengguna masih mempunyai banyak pilihan untuk membuat bayaran di ejen-ejen bayaran lain, antaranya Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM) dan beberapa bank termasuk kaunter bayaran Sada.

“Selama ini Sada tanggung komisen itu dan apabila Pos Malaysia naikkan komisen kita ada minta kurang, tapi dia tak nak beri. Dia nak caj pengguna jika Sada tidak mahu tanggung komisen. Saya rasa tidak adil jika kita bebankan caj itu pada pengguna, sebab itu kita hentikan khidmat Pejabat Pos,” katanya.

Menurutnya, Sada kini dalam proses menambah bilangan kaunter bayaran di setiap daerah, termasuk menaik taraf logistik untuk kemudahan pengguna.

Mengulas mengenai desakan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang mahu Kerajaan Negeri mengkaji semula keputusan itu atau membatalkan tindakan menamatkan khidmat Pejabat Pos memandangkan ia adalah pusat sehenti pelbagai kemudahan, Azizan berkata, pihaknya sudah menimbangkan perkara itu dengan sewajarnya.

“Kita sudah fikirkan yang terbaik untuk semua pihak, memang lah mula-mula agak payah sikit tapi masih ada pilihan lain yang kita sediakan,” katanya.

Ditanya rasional tindakan Pos Malaysia untuk menaikkan kadar komisen itu, Azizan berkata, perkara itu tidak dinyatakan dengan jelas.

“Apa yang berlaku ialah Pos Malaysia kenakan caj yang berbeza-beza bagi setiap negeri. Kedah di caj 70 sen dan sekarang 90 sen, ada negeri caj lebih rendah. Sukar untuk kita berurusan macam ini, lebih baik kita putuskan henti jadikan Pejabat Pos sebagai ejen,” katanya.

Selasa lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sada, Datuk Adzmi Din berkata, pemberhentian perkhidmatan itu terpaksa dibuat supaya pengguna tidak dibebankan dengan kos bayaran komisen yang dikenakan oleh Pejabat Pos kepada Sada apabila komisen dinaikkan daripada 70 sen kepada 90 sen.

Adzmi berkata, setiap bulan pihaknya terpaksa memberi subsidi kepada pengguna hampir RM100,000 sebulan, kerana tidak mahu memindahkan kos tanggungan itu kepada pengguna. Jika caj baru itu diterima, Sada akan menanggung kerugian sebanyak tambahan 30 peratus berbanding sebelum ini, sekitar RM1.2 juta setahun.

No comments: