Monday, May 30, 2011

PRU 13 cepat untuk singkir Najib


Perdana Menteri Najib Razak dan timbalannya Muhyiddin Yassin dilaporkan berselisih mengenai tarikh untuk memanggil Pilihanraya Umum ke-13 akibat pergelutan kuasa dalam parti itu, kata seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat.

Muhyiddin dilaporkan mendesak Najib untuk mengadakan pilihanraya secepat mungkin walaupun Timbalan Presiden Umno itu menyedari langkah itu mengundang padah untuk Umno berasaskan sentimen semasa pengundi, kata Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid.


Menurut beliau, kekalahan untuk Umno pada PRU-13 akan membuka laluan untuk Muhyiddin mencabar Najib pada pemilihan parti yang akan datang, dan jika menang, Muhyiddin sekali gus akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Najib.


"Ramai yang ramalkan PRU bulan Julai ini, saya ingin berkongsi, teman-teman saya di dalam Umno memberitahu apa yang berlaku ialah terdapat desakan daripada kumpulan pro Muhyidin Yassin mendesak supaya Najib Razak istihar pilihanraya dan bubar parlimen dalam waktu terdekat."


"Kerana penguasaan, Muhyidin ingin berkuasa tetapi Najib masih berbelah-bagi.


Namun kumpulan ini terus mendesak (mahukan PRU cepat)," kata Nizam.


Nizam berkata kumpulan pro Muhyiddin menggunakan taktik yang sama untuk mengusir Tun Abdullah Ahmad Badawi dari Putrajaya selepas beliau memanggil PRU ke-12 pada Mac 2008 atas desakan pihak tertentu.


Keputusan itu berakhir dengan Umno-BN hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen.


Pakatan Rakyat turut menawan Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah disamping mengekalkan Kelantan.


Tidak lama selepas itu, Muhyiddin dilaporkan antara pemimpin utama yang mendesak supaya Abdullah berundur "demi masa depan Umno."


Nizam berkata apa yang berlaku dalam Umno ketika itu adalah kes "kawan makan kawan" dan kini episod itu sedang berulang sekali lagi antara Muhyiddin dan Najib.


"Muhyidin mahu perangkap Najib agar nasib yang diterima oleh Abdullah Ahmad Badawi akan terjadi kepada Najib, sebab apa ianya berlaku...dari maklumat yang kita terima Muhyidin mengesa anak buahnya kerana beliau sudah berumur berbanding Najib.


Jadi sebab itu Muhyidin mahu jadi Perdana Menteri"


Hadir sama pada majlis itu Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim, Adun Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamad dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pahang, Fauzi Abd Rahman.


Kira-kira 300 orang dan pemimpin masyarakat memenuhi perkarangan Markas Pas Temerloh menghadiri majlis itu.

No comments: