Wednesday, June 22, 2011

Bila MCA buat laporan polis, Ibrahim Ali takut tuduh media salah lapor

http://2.bp.blogspot.com/_XxpzUNuAXXQ/S5W67kGklgI/AAAAAAAABII/X2QVI3z3P50/s320/bd1d2a372e08a6db1ac3d3cb6eef8271.jpg
KUALA LUMPUR – Selepas dikecam pelbagai pihak kerana dikatakan bersifat rasis, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar) menyalahkan media kerana didakwa memanipulasi kenyataannya hingga berlaku salah faham.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kenyataannya kepada orang Cina adalah nasihat dan bukan ancaman, tetapi disalah ertikan.

Menurut Ibrahim, kenyataan itu dimanipulasikan media alternatif sehingga menyebabkan orang lain tersalah tafsir.

“Tiada masalah timbul pada sidang media selepas perhimpunan di Kampung Baru, Ahad lalu. Cuma kenyataan saya disalah anggap apabila saya katakan kaum Cina elok duduk di rumah pada perhimpunan Bersih itu,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Ibrahim berkata demikian kerana tidak mahu kaum Cina terbabit dalam perhimpunan Bersih demi kebaikan mereka.

“Selalunya apabila tunjuk perasaan, orang Cina tidak akan terlibat. Jadi saya keluarkan kenyataan itu sebagai nasihat kerana tidak mahu mereka turut serta dalam perhimpunan itu,” katanya.

Portal berita melaporkan Ibrahim bahawa menggesa masyarakat Cina tinggal di rumah pada 9 Julai ini dan menyimpan makanan kerana “apa-apa boleh berlaku”.

Ibrahim juga mendakwa kemudian bahawa dia menerima maklumat mengenai rancangan parti pembangkang untuk menumbangkan kerajaan persekutuan dan kekacauan yang boleh meletus semasa perhimpunan Bersih itu.

“Jadi apa yang berlaku apabila di luar kawalan? Mereka mahu mewujudkan sebuah kerajaan sementara dan mereka akan mengemukakan senarai nama yang akan mengambil alih, “ katanya.

Ibrahim juga menegaskan beliau tidak gentar untuk disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataannya yang didakwa bersifat rasis.

“Nak siasat, siasatlah. Saya tiada masalah langsung untuk disiasat kerana kita tidak boleh lari daripada undang-undang. Saya manusia yang mengaku kesilapan sendiri,” katanya

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahu beliau disiasat kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman yang mengugut kaum lain.

“Saya sudah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saya tahu apa yang saya buat, baik atau tidak. Kalau nak katakan kenyataan itu menghasut, bagaimana dengan kenyataan pihak lain untuk menyertai perhimpunan Bersih walaupun polis tidak akan mengeluarkan permit?,” katanya.

No comments: