Monday, June 20, 2011

Kabinet PAS Kedah : Mahfuz dan Taib gugur atas permintaan sendiri

http://www.klpos.com/news/2011/05/10/1_1.jpgALOR SETAR - Pengguguran Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Taib Azamudden Md Taib sebagai Timbalan Pesuruhjaya II dan III dalam senarai kepimpinan baru Pas Kedah dibuat atas permintaan kedua-dua pemimpin itu sendiri.

Mahfuz berkata, hasrat itu dimaklumkannya sendiri kepada Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam satu pertemuan selepas Menteri Besar Kedah itu diumumkan mengekalkan jawatan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, 12 Jun lalu.

Menurutnya, tanggungjawab sebagai naib presiden parti yang memerlukan tumpuan lebih di peringkat pusat bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 menyebabkan beliau tidak mahu memegang jawatan berkenaan.

Pada masa yang sama, katanya, beliau juga mahu memberi laluan kepada pemimpin pelapis memegang jawatan tersebut.

“Saya jelaskan kesibukan saya dan Taib Azamudden menggerakkan jentera Pas Pusat memerlukan Pas Kedah menyerahkan tanggungjawab berat itu kepada pemimpin pelapis yang aktif dan banyak ruang masa untuk tumpu jentera pilihan raya negeri,” katanya.

Sementara itu, Taib Azamudden ketika dihubungi turut sependapat dengan Mahfuz dan menegaskan Pas Kedah kini memerlukan kemunculan pemimpin baru terdiri dari kalangan pelapis serta belia.

Menurutnya, beliau yakin kepimpinan baru akan lebih agresif memperkukuhkan jentera parti menghadapi pilihan raya setelah pengagihan tugas-tugas parti dilaksanakan dengan sistematik dan tidak bertindih.

No comments: