Monday, June 20, 2011

Kesal Utusan Malaysia persenda hukum Islam

http://i31.photobucket.com/albums/c368/paspb/IMG_1467-1.jpg?t=1290752572PARIT BUNTAR, 20 Jun : PAS Parit Buntar kesal dengan tindakan akhbar Utusan Malaysia menyiarkan kartun yang mengulas kes rogol kerana amat jelas memperlihatkan kejahilan akhbar itu mengenai sistem perundangan Islam.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, tindakan Utusan Malaysia yang merupakan lidah rasmi UMNO itu ternyata telah mengelirukan umat Islam mengenai perlaksanaan hukum Islam.

“ Akhbar itu jahil mengenai perundangan Islam tetapi tetap juga mahu mengulas perkara itu dari sudut agama.

“ Sehingga menyebabkan mereka amat jelas mempersendakan hukum Allah, memperlekehkan umat Islam, menghina ulama dan mempermainkan sistem mahkamah syariah” katanya

Tegasnya, dengan memainkan isu seolah-olah dalam perundangan Islam permintaan seorang wanita yang didakwa dirogol kerana tiada 4 saksi boleh ditolak begitu sahaja, mereka cuba memesongkan fakta sebenar dan menunjukkan seperti hukum Islam itu sempit.

“Hakikatnya, kes rogol dan zina tidak sama. Hanya kes zina dan tuduhan zina sahaja yang perlukan 4 saksi sedangkan dalam siasatan kes rogol, faktor dan bukti lain tetap diambil kira.

“Apakah mereka belum habis lagi khatam Al-Quran atau sengaja mahu mempersenda perundangan Islam demi kepentingan politik UMNO?” soalnya.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Parit Buntar menganggap tindakan Perkasa mempertahankan Utusan Malaysia yang menghina hukum Islam dengan menyiarkan karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” sebagai tindakan khianat kepada Islam.

“Sangat memalukan bila mana sebuah pertubuhan Melayu yang kononnya organisasi pejuang Melayu dan Islam mempertahankan akhbar berkenaan,” kata Ketua Penerangannya Ahmad Firdaus Mohamad

Katanya, ramai pihak yang mengecam karikatur itu, tetapi tiba-tiba sahaja setiausaha agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali mengatakan ianya tidak menghina Islam.

“ Persepsi rakyat bahawa Perkasa hanya menjadi perkakas UMNO dan hanya bersuara apabila UMNO dihimpit dengan kemarahan rakyat adalah benar.

“ Akhbar yang menjadi lidah rasmi UMNO akan dikatakan betul walau apa sahaja yang disiarkan tanpa mengira ianya benar atau fitnah atau menghina Islam”katanya

No comments: