Monday, June 6, 2011

Peranan Majlis Syura akan diperluas

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgGqFzS9hgmajUFBC9hVGE-TO73fgow90AcqRurvA054mxC6b9WgThVQQKfLBx6FurLUwG2UoNgt2bil4AMXSrFwmvALTz1PO6RWwpsJNmYoAMBiPzmuLot_HrNRBdXq-_IbUGw2yVxxPM/s1600/Mymaktabaty-Nik-zawawi-nik-salleh.jpgSHAH ALAM – Majlis Syura Ulama Pas akan membincangkan cadangan Jawatankuasa Pusat supaya peranan badan tertinggi parti itu diperluaskan terutama terlibat sama dalam pelaksanaan parti.

Setiausaha Majlis Syura, Nik Zawawi Nik Salleh berkata, perkara itu akan dibangkitkan pada mesyuarat 12 Jun ini.

“Muktamar kali ini berharap peranan Majlis Syura diperluaskan seperti keputusan disiplin parti dan tidak hanya membincangkan dasar parti semata-mata.

“Ini menunjukkan kepercayaan tinggi ahli kepada tanggungjawab Majlis Syura yang berjaya memantau garis panduan parti sehingga kini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, peranan utama Majlis Syura adalah menentukan dasar dan perjuangan parti supaya tidak lari daripada landasan prinsip Islam.

“Masyarakat mungkin kurang jelas kerana Majlis Syura kurang dipaparkan kepada umum dan merupakan badan yang paling dihormati dan tertinggi dalam parti,” katanya.

Ditanya mengenai peranan Majlis Syura dalam menjayakan negara kebajikan yang ditegaskan pada Muktamar Pas ke-57 yang berakhir kelmarin, Nik Zawawi menjelaskan, pihaknya sentiasa membantu dan mengawasi parti dalam penentuan dasar yang akan dilaksanakan.

“Majlis Syura akan membantu parti dalam memastikan setiap perkara berkaitan Islam mengikut acuan tepat dan mudah difahami seluruh masyarakat.

“Pendekatan negara kebajikan adalah tepat kerana lebih fokus dan tidak lari daripada konsep Islam berdasarkan hadis dan al-Quran,” katanya.

Menurutnya, tiga fokus utama negara kebajikan adalah pendidikan, keselamatan dan kesihatan dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat negara ini.

Kelmarin, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dalam penggulungan perbahasannya di Muktamar Pas ke-57 mengesyorkan supaya Majlis Syura diberikan kuasa audit untuk menilai prestasi barisan kepimpinan pusat yang dipilih pada pemilihan kali ini.SH

No comments: