Tuesday, August 23, 2011

Kes Liwat : Kaedah, Sampel bukti disimpan 56 jam dipertikai pakar

KUALA LUMPUR: Pakar patologi forensik dari Australia, Dr David Wells hari ini mempertikaikan cara sampel bukti disediakan dalam kes Fitnah II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau merujuk kepada cara calitan putik kapas diambil dan disediakan oleh Hospital Kuala Lumpur dan juga cara ia dikendalikan oleh pegawai penyiasat polis.


Menurutnya, beliau belum pernah mendengar sampel air mani diambil daripada tubuh mana-mana mangsa 56 jam selepas kejadian didakwa berlaku.



“Integriti spesimen yang digunakan adalah amat penting (dalam mana-mana kes),” kata Dr Wells.

Menurutnya lagi, cara pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira yang membuka semula sampel dari Hospital Kuala Lumpur kononnya untuk membuat tanda baru sebelum diserahkan ke Jabatan Kimia Malaysia membuktikan ia tidak kalis daripada diubahsuai.


“Jika anda tanya saya samada ia (sampel) ia kalis ubahsuai, tidak,” kata Dr Wells.


Menurutnya, cara yang biasa dilakukan dalam pengambilan sampel dari tubuh mana-mana mangsa serangan seksual adalah dengan meletakkannya dalam botol plastik yang bernombor siri pada botol dan juga pada penutupnya.


Dengan cara itu katanya, apabila sampel itu dibuka dari sebelum diserahkan ke makmal untuk diujikaji, ia akan menyebabkan sampel itu tercemar.


Sewaktu ditanya Sankara Nair, beliau bersetuju bahawa dengan keadaan cuaca di Malaysia, sampel yang diambil daripada tubuh Saiful dan terdedah kepada udara itu mengalami risiko cepat rosak.


“Pada suhu bilik, kualiti sampel boleh mula merosot dengan agak cepat,” kata Dr Wells.


Peguam Anwar, Sankara Nair sewaktu di luar mahkamah menyifatkan hujah-hujah Dr Wells yang membuktikan integriti sampel dari HKL boleh tercemar atau pun diubahsuai sebagai perkara yang memang berlaku.


“Pakar dari Australia telah menyatakan IO memotong eksibit kononnya untuk buat tanda baru.


Ia memberi peluang untuk calitan kapas DNA tercemar atau diubahsuai.


Perkara ini memang berlaku dan pakar sendiri kata prosedur ini tidak betul,” kata Sankara.


Beliau juga menyifatkan keterangan Dr Wells yang menyokong hujah peguam bela sebagai satu kejayaan kepada mereka.


“Ini satu kejayaan untuk peguam bela” kata Sankara.

Kes Liwat : Laporan HKL tidak lengkap dan tepat- pakar Australia

KUALA LUMPUR: Pakar Patologi dari Australia, Dr David Wells dalam keterangannya pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur tidak lengkap dan tepat.

Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Dr Wells memberitahu pentingnya untuk merekod kes seksual secara terpeinci, kerana ia memperincikan apa yang terjadi dan akan diteliti oleh ramai orang.

“Ia (aspek) penting untuk proses dokumentasi pesakit,” katanya.


Ketika ditanya peguam, Sankara Nair apakah menjadi kebiasaan untuk mencatatkan tabiat mangsa seksual, beliau berkata ‘ia penting untuk direkodkan’.

“Saya sedikit kecewa dengan sejarah yang direkodkan,” katanya sambil menambah beliau tidak menemui sebarang penemuan klinikal yang direkodkan pada laporan perubatan HKL.

Selain itu, Wells turut mempersoalkan catatan doktor yang menyebut ‘tiada penemuan konklusif’ sedangkan berdasarkan pengalaman beliau, ia sepatutnya ditulis ‘tiada sebarang penemuan”.

Katanya perkataan “konklusif” bermaksud doktor yang memeriksa Saiful kurang pasti akan penemuannya sendiri.

Beliau berkata ketika borang proforma Saiful menunjukkan ada pendarahan, laporan perubatan pula menunjukkan sebaliknya.

Menurutnya, borang berkenaan sepatutnya diisi dengan betul. “Ia mesti diisi untuk menunjukkan kesemua pemeriksaan dibuat sewajarnya. Saya keliru oleh bahagian-bahagian penting yang hilang,” kata beliau.

Menurut Wells lagi, pencemaran bahan DNA juga adalah isu penting dan mengakui ia tidak boleh dihentikan dan bukti itu perlu disokong oleh ujian klinikal lain.

Beliau juga mengakui kemungkinan berlaku kesilapan manusia.

Sebelum itu, Dr Wells menerangkan tentang kelayakan beliau, yang merupakan ketua pasukan forensik di Victoria Institute Of Medicine dan profesor di Monash Universiti, Australia. Well menyatakan beliau mempunyai kepakaran mengenai keganasan seksual dan menulis beberapa buku dan artikel mengenai keganasan seksual.

Beliau juga pernah menjadi saksi di Australia dan United Kingdom. Wells berkata beliau juga melatih pegawai polis, jururawat dan doktor yang melakukan perubatan forensik. Beliau juga pernah mengadkaan kursus di Malaysia dan membantu melatih doktor di sini.

Wells menyatakan beliau menjadi saksi di pelbagai mahkamah, dari majistret hingga Mahkamah Tinggi dan percaya testimoni beliau diterima oleh mahkamah.

Beliau juga memberitahu mahkamah beliau telah menetap di Malaysia selama tujuh tahun dan bapanya bekerja dengan bekas Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman.



http://www.keadilandaily.com/?p=19354

No comments: