Tuesday, August 9, 2011

Media gagal perlekeh ’Negara Berkebajikan’

http://www.niknasri.com/wp-content/uploads/2011/07/Membangun-Negara-Berkebajikan.JPGKOTA BHARU, 9 Ogos: Isu Negara Berkebajikan yang cuba dicetus polemik media harian ternyata gagal apabila orang ramai sudah lama memahami konsep yang diketengahkan PAS itu.

Malah tanggapan media kononnya dasar perjuangan PAS sudah berubah juga gagal kerana dasar itu tidak pernah bertukar sejak gerakan Islam terbabit ditubuh pada 1951 sehingga sekarang.

Sebaliknya usaha dilakukan media proUmno berjaya mengetengahkan tema muktamar PAS pada Jun lalu dalam masa singkat ke ke seluruh negara.

Bagaimanapun bagi menjelaskan lagi isu berkenaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini berjaya menyiapkan sebuah buku yang dinamakan ‘Negara Berkebajikan’.

Buku yang mengandungi tujuh topik itu membincangkan secara lebih terperinci ciri-ciri negara berkebajikan.

Pada bab akhir dikupas tajuk ‘Agenda PAS ganti Umno’. Buku berkenaan diterbitkan Pejabat Presiden PAS dan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Buku setebal 86 halaman merupakan pendekatan PAS dalam usaha mengangkat gerakan tajdid siyasi khususnya dalam mempelopori konsep ’Negara Berkebajikan’.

Buku tersebut juga turut mengupas perbezaan di antara Negara Berkebajikan dengan Negara Kebajikan yang dipelopori barat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, konsep Negara Berkebajikan berbeza dengan Negara Kebajikan yang diasaskan golongan sekular.

”Ia juga berbeza dari fahaman yang dianuti masyarakat terbanyak,” katanya ketika melancarkan buku tersebut di sini baru-baru ini.

Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyudin Hassan, Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof.

No comments: