Tuesday, August 9, 2011

Musa Hassan dan Rodhwan tak mau tapi mahkamah benarkan Anwar hadir temubual



KUALA LUMPUR 10 OGOS : Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dalam setiap temuramah peguambela ke atas 15 saksi pendakwaan.

Sesi temubual semalam tergendala apabila, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof enggan ditemuramah, jika Anwar hadir sama pada sesi temubual kes fitnah liwat II tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bagaimanapun berkata, Anwar hanya hadir dalam temubual itu namun tidak dibenarkan menyoal saksi.

Peguam Anwar, Karpal Singh berkata, Anwar sebagai yang dituduh dalam kes ini berhak untuk hadir sama dalam setiap sesi temubual saksi.

"Sebagai tertuduh, beliau ada hak untuk berada di situ," kata beliau kepada wartawan di kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Pihak pembelaan yang diketuai oleh Karpal kini dijadualkan mewawancara 10 saksi hari ini.

Bagaimanapun senarai itu tidak termasuk nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mahupun Musa yang juga antara saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Karpal bagaimanapun menegaskan bahawa semua 15 saksi yang dibekalkan itu perlu ditemubual segera.

"Kami akan terus mewawancara mereka. Kami mahu selesaikannya dalam minggu ini. "Biar saya terangkan dengan jelas, kami mahu temuramah mereka secepat mungkin. Semalam kami sudah mahu mula. Saya tidak faham kenapa Pendakwaraya membantah kehadiran Anwar," terang Karpal.

Mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh 15 hingga 26 Ogos untuk pihak pembelaan mengemukakan hujah pembelaan.

No comments: