Friday, September 2, 2011

Ust. Azizan kekal MB Kedah

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan beliau ada mendesak atau meminta Datuk Azizan Abdul Razak agar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Justeru, Hadi (gambar) menegaskan Azizan akan kekal dalam jawatannya yang disandang sejak Mac 2008.


“Beliau kekal Menteri Besar Kedah. Cuma kini sedang berehat kerana masih dalam rawatan,” kata beliau dalam kenyataan ringkas hari ini.


Hadi mengulas laporan akhbar hari ini bahawa kepimpinan PAS sedang mengambil langkah untuk menggantikan Azizan yang kini kurang sihat selepas diserang sakit jantung bulan lalu.



Menurut laporan itu, Hadi akan menghadap Sultan Kedah berhubung peralihan kepimpinan kerajaan negeri.

Beliau juga disebut akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin negeri di Alor Setar mengenai isu itu hujung minggu ini.

The Malaysian Insider difahamkan Hadi akan mengadakan kunjungan ke Kedah akhir minggu ini.

Azizan dipetik berkata beliau tiada rancangan untuk bercuti panjang ekoran masalah kesihatan semasa.

Bagaimanapun Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah tidak menafikan ada usaha untuk memintanya bercuti panjang dan jawatan dipangku oleh pihak lain.

Kepimpinan pusat PAS juga menegaskan mereka tidak pernah membincangkan sebarang idea mengubah kepimpinan negeri Kedah.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata partinya masih yakin beliau boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai menteri besar.

“Saya ada hubungi beliau baru-baru ini masa raya, beliau sihat. Kami yakin beliau masih berupaya untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab perjabatan, ada exco untuk membantu menjalankan pentadbiran kerajaan negeri,” kata beliau ketika dihubungi.

“Setakat ini kami tidak membincangkan isu ini, tak timbul soal hendak menggantikan Datuk Seri Azizan, tidak sama sekali,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga menolak laporan akhbar hari ini sambil menegaskan perkara tersebut tidak pernah dibincangkan langsung.

“Perkara-perkara seperti ini sewajarnya telah dibincangkan di peringkat Dewan Harian atau Lajnah Politik jika benar Datuk Seri Azizan mahu digantikan . . . jadi tidak benar kepimpinan PAS mahu menggantikan beliau,” kata beliau merujuk kepada mesyuarat lajnah terakhir minggu
lalu.

No comments: