Friday, September 2, 2011

Yayasan Warisan Johor dah jadi pengkianat pula, jika ikut pandangan UMNO

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjRDNVdnvhFW_pvS_o7ePEyjw4I_e2WTDNQr43-xFBOsS4yq6AB5nAbWOnauT44YiQ2bkLtyk4yo3tCCrthsfX90vj6lcJbSVVmeS2XkLSYBGNNdMA1AWTFHTN1qbzr2W7V86EV-xB3-K0/s1600/Mat+Indera.jpgSebelum kita disesatkan lebih jauh lagi oleh media-media parti pemerintah, eloklah kita semua kembali ke pangkal jalan, mengkaji dan memahami semula sejarah. Sebetulnya tatkala kali pertama saya menonton klip video ceramah Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai tragedi Bukit Kepong itu, hati saya telah terdetik "Apa sajalah yang UMNO akan merapu lepas ni". Dan memang saya mahu saksikan, label apakah yang hendak dicop kepada Mat Sabu rentetan daripada ceramah beliau.

Sememangnya ucapan Mat Sabu telah diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan kalau salah bacaan, kita juga akan terperangkap dengan permainan Utusan Malaysia. Mat Sabu tidak pernah menyebut komunis, tetapi hanya menyebut nama Mat Indera, pejuang yang telah mengetuai serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Inti ucapan Mat Sabu ialah ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang peranannya digelapkan oleh parti pemerintah, tetapi di tangan Utusan Malaysia, tiba-tiba Mat Sabu pula yang sokong komunis!


Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera


Saya tidak perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber untuk membuat pendirian bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, seperti yang disebutkan oleh Mat Sabu. Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004.



Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri. Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO.

Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002.

Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.


Siapa Mat Indera

Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini.

Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut.

Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.


Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar.

Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam.

Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988).

Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis.

Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera.

Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.


Mat Indera dan Bukit Kepong

Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong.

Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis.

Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera.

Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis.

Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.


Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera.

Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya.

Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera.

Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.


Tafsiran sejarah bukannya pengkhianatan

Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beliau merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian dan pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961.


Di bahagian Pendahuluan buku ini, Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus diperbincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut.

Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati.

Katanya lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'".


Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah. Apa yang dipohon oleh Mat Sabu ialah pihak parti pemerintah memberikan gambaran yang seadil-adilnya kepada para pejuang kemerdekaan dan tidak hanya memberi fokus kepada UMNO sahaja.

Golongan kiri, golongan alim ulama' dan golongan yang "bukan UMNO" turut terbabit memperjuangkan kemerdekaan, hatta Dato' Onn Jaafar yang pernah dicop oleh UMNO sebagai boneka British juga turut berhasrat memperjuangkan kemerdekaan.

Berikanlah kepada mereka penghormatan yang sewajarnya berdasarkan neraca intelek, bukan bidasan jelik. Tidak dapat difahami mengapa tafsiran sejarah yang berbeza berasaskan hujah-hujah akademik boleh dilabel sebagai pengkhianatan, petualang dan entah apa-apa lagi.


Rasional bukan emosi

Apabila seorang tokoh politik seperti Mat Sabu memberi tafsiran sejarahnya (yang bukannya tiada asas), mengapa reaksi-reaksi yang timbul langsung tidak ilmiah malah disulami kecaman demi kecaman yang penuh emosi?

Berfikirlah secara rasional dan selak kembali lembaran-lembaran sejarah yang mungkin kita terlepas pandang.


Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan.

Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan".

Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan.

Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang".

Kenyataan ini saja sudah membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Yayasan Warisan Johor juga mahu menjadi pengkhianat seperti Mat Sabu? Bilakah pula agaknya Utusan Malaysia ingin mengisytiharkan Yayasan Warisan Johor sebagai pengkhianat?



9 comments:

Anonymous said...

Pihak propaganda UMNO selalu sangat cuai. Mereka fikir mereka hidup di zaman kelam zaman 40 an - awal 90 an. Dulu cakap apapun rakyat Malaysia telan sebab kamu (UMNO) yang menerajui media massa. Sekarang cakap kamu akan diselidiki dulu sehingga kami yakin UMNO dan media massa penipu.

Sekarang UMNO sendiri akan konfius sama ada Tok Janggut tu pejuang atau pemberontak. Kalau dia pejuang apasal dia bunuh polis kerajaan, tapi dia juga diikhtiraf menentang Inggeris. Samalah Datuk Bahaman, Mat Kilau dan sebagainya yang menentang Kerajaan Pahang yang bernaung di bawah British... pejuang atau pemberontak? Kalau mereka hidup hingga kini... di dalam pihak manakah mereka?

Namun aku berbangga Henry Gurney yang terlibat dalam pembunuhan dan penaklukan tanah Palestine terbunuh di Tanah Melayu dibunuh komunis, walaupun aku tak menyokong komunis sebaliknya menyokong perjuangan parti-parti Melayu haluan kiri yang menentang British. Celaka UMNO mendabik dada sebagai pejuang kemerdekaan.

Anonymous said...

kepada orang2 pakatan yang sangat arif tentang sejarah tolong jawab beberapa soalan aku...

1.kalau polis bukit kepong dianggap sebagai talibarut british atas dasar mereka bekerja dengan penjajah bagaimana pula dengan askar2 melayu yang bekerja dengan british untuk menentang pihak jepun..? adakah sarjan hassan dan let.adnan juga dianggap talibarut dan barua british..?

2.sebelum tanah melayu merdeka orang cina dan india bukan warganegara tanah melayu. jadi kenapa puak komunis yang majoritinya orang cina dianggap pejuang kemerdekaan apabila membunuh polis bukit kepong..?? tanah melayu bukan negara mereka....jadi apa niat mereka yang sebenar??


p/s:jika ikut pandangan PAS tentu jepun adalah hero manakala askar melayu yang bekerja dengan british menentang jepun adalah barua.

Anonymous said...

pencacai umporno tak perlu alih isu. Mudah saja, jika niat dia nak pertahankan negara maka dia pejuang, jika niat dia nak pertahankan british maka dia talibarut.

jika orang melayu yang menentang british, niat dia nak merdeka maka dia pejuang walaupun dia berjuang secara radikal. tapi jika niat dia untuk bunuh orang Islam maka dia bukan pejuang.

UMNO lah yang paling pengkianat dalam semua hal sebab bersubahat dgn british bunuh, penjarakan orang Islam yang lawan british.

Lepas british pergi, UMNO ambil tugas british bunuh orang Islam di Memali

Anonymous said...

jadi semua perkara atas niat ya......kenapa anda mengatakan polis bukit kepong sebagai tali barut british..? adakah anda tahu niat mereka..? anda pernah tanya dan berjumpa mereka..? tentu tidak pernah bukan. anda menyokong komunis tanpa penjelasan dari pihak polis bukit kepong......adilkah bersikap begitu???

Anonymous said...

kepada anon 18:31

bukankah orang2 yang dibunuh di bukit kepong itu polis2 islam, wanita2 islam dan anak2 islam.....??? jadi kenapa mereka yang membunuh orang islam dianggap sebagai pejuang..??

p/s: matlamat tidak menghalalkan cara.

Anonymous said...

Sapa yg tuduh mrk talibarut kalau bukan utusan meloya yg buat Cerita . Mat sabu tak debut pun Dlm ceramah. Mslhnya pencacai umporno pecaya hid up utusan meloya. Bolehkah pencacai umporno buktikan mat sabu tuduh, yg mat sabu sebut mat indera pejuang merdeka. Yg fitnah utusan meloya yg dah sah fitnah

Anonymous said...

mat sabu cakap yang serang 2 hero yang satu lagi polis british....jadi dah jelas kan. kalau satu hero agak2 pihak yg kena bunuh dengan hero 2 mat sabu anggap apa ya..?? fikir logik akal pon buleh jwab la.mat indra tidak boleh dianggap pejuang selepas menyertai komunis....kerana majoroti komunis bukan warganera tanah melayu.


p/s:kenapa komunis nak memperjuangkan kemerdekaan sedangkan mereka BUKAN WARGANEGARA tanah melayu.?? fikir....

Anonymous said...

PKMM ditubuhkan setahun lebih awal dari Umno untuk halau British dari Malaya..Antara ahli sayap pemuda parti kebangsaan melayu malaya (PKMM) yang dipimpin Dr burhanuddin al-helmy dan ishak haji mohammad, adalah Mat Indera. Beliau juga dikenali sebagai angkatan pemuda insaf (API), atau dikenali sebagai angkatan pembunuh inggeris oleh golongan pemuda fanatik.

Selepas British MENGHARAMKAN gabungan PUTERA-AMCJA pada awal tahun 1948 (hasil hasutan pemimpin UMNO), akibat daripada pengharaman tersebut, seluruh usaha perjuangan kemerdekaan PUTERA-AMCJA terbantut (cadangan Perlembagaan Rakyat dan Kemerdekaan Malaya) dengan juga penangkapan beberapa pemimpin utama dan Mat Indera telah mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangan menentang Penjajah British melalui peperangan gerila dengan menyertai PKM.

Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera.

Beliau bekerjasama dgn PKM BUKAN KERANA hendak memurtadkan org Islam atau hendak menjadikan negara ini negara komunis.Yang jelasnya dia bekerjasama dgn PKM adalah utk menghalau British drp negara ini.Beliau berjuang utk memerdekakan negara ini.

Ini FAKTA sejarah cuba padamkan atau diputarbelitkan oleh media arus perdana kini, sebagaimana penjajah British melebelkan perjuang negara dan alim ulama seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya sebagai "PENJAHAT" begitu juga dengan Mat Indera,BRITISH DAKWA sebagai "Petualang negara..

Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut :

"Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang". - Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 200

Adakah Mat Indera petualang negara?Jangan termakan hasutan media arus perdana yang kononnya hanya dialah HERO atau pejuang kemerdekaan sebenar. Banyak lagi tokoh2 lain yang berjasa tak disebut atau dibangkit ketika musim merdeka.Ke mana pergi nama-nama yang mempelopori kemerdekaan negara seperti Dr Burhanudin alHelmi, Ibrahim Yaakob, Ustaz Abu Bakar al Baqir, Ahmad Boestamam dan lain-lain lagi??Kenapakah nama-nama mereka digelapkan daripada sejarah negara ini???Sebaliknya yang diuar-uarkan ketika menyambut kemerdekaan ialah tokoh-tokoh Umno. Ini sepatutnya diubah pada masa datang sebagaimana Mat Sabu sarankan. Jangan Sambut kemerdekaan Seperti Sambut Ulang Tahun Umno bak kata Mat Sabu.

Anonymous said...

Sememangnya ucapan Mat Sabu telah diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan kalau salah bacaan, kita juga akan terperangkap dengan permainan Utusan Malaysia. Mat Sabu tidak pernah menyebut komunis, tetapi hanya menyebut nama Mat Indera, pejuang yang telah mengetuai serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 (sebelum merdeka). Inti ucapan Mat Sabu ialah ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang peranannya "digelapkan" oleh parti pemerintah, tetapi di tangan Utusan Malaysia, tiba-tiba Mat Sabu pula yang sokong komunis. Rujuk disini :

http://www.youtube.com/watch?v=m4hDwBiGPGA

Amat menyedihkan juga, oleh kerana politik sempit, Utusan, UMNO dan media arus perdana sanggup melebelkan Mat Indera sebagai pengganas, berkefahaman komunis (menganut ideologi komunis) dan petualang negara sebagaimana British melebelkan Mat Indera sebagai penjahat dan pengkhianat..