Tuesday, December 27, 2011

Suburkan amalan bergotong royong - Dr. Mujahid

PARIT BUNTAR, 27 Dis. : Semangat bergotong royong yang menjadi amalan masyarakat kampung akan terus disuburkan dengan pelbagai aktiviti yang membabitkan penduduk setempat dan ianya lebih meriah apabila tiba hari-hari kebesaran Islam.

Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata, selain sambutan Maal Hijrah , Hari Asyura yang jatuh pada hari kesepuluh dalam bulan Muharam juga disambut oleh umat Islam.

“ Terdapat banyak perkara sunat yang dilakukan umat Islam pada Hari Asyura selain acara tradisi orang Melayu yang memasak bubur asyura secara bergotong royong.

“ Saya memuji Jawatankuasa Surau Haji Shaari ,Bagan Tiang yang memain peranan untuk mengatur program mengacau bubur asyura yang disertai penduduk kampung” Katanya selepas ditemui semasa majlis memasak bubur asyura di perkarangan Surau Haji Shaari, Bagan Tiang.

Dr. Mujahid bersama isteri yang turut mengambil bahagian mengacau bubur asyura kemudiannya beramah mesra dengan penduduk kampung yang terlibat dalam majlis berkenaan.

“ Saya akan cuba memberi lebih banyak masa untuk bertemu dengan penduduk kampung dalam keadaan santai begini.

“ Suasananya sungguh meriah , semua dapat merasai kelazatan bubur asyura disamping mengeratkan ikatan silatulrahim antara satu sama lain” katanya

No comments: