Saturday, January 28, 2012

SERAH KEPADA PARTI!!! Presiden PAS berjiwa besar

http://www.harakahdaily.net/v2/images/stories/harakahdaily/person/mp_PAS/salahuddin%20ayub_1.jpgSHAH ALAM – Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub (gambar) menyifatkan tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhasrat untuk berundur dan bersedia tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar.

Menurutnya, Abdul Hadi dilihat sanggup berundur ketika berada di puncak dalam karier politiknya walaupun beliau masih diperlukan berada dalam parti.

“Kenyataannya menggambarkan beliau seorang pemimpin yang memperjuangkan parti dan memiliki visi penting dalam konteks politik di Malaysia,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Abdul Hadi membuat keputusan berundur berdasarkan kepada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.

Salahuddin berkata, sumbangan Abdul Hadi kepada negara dan parti masih diperlukan.

“Abdul Hadi tidak mengutamakan jawatan sebaliknya fokus kepada matlamat hidupnya tercapai dan antaranya ialah apa yang diperjuangkan dalam Pas.

“Saya berterima kasih kepadanya kerana mengajar kami (ahli Pas) mengenai jawatan dalam politik bukanlah segalanya,” katanya.

Pas akan membincangkan hasrat pengunduran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mungkin pada mesyuarat bulanan parti itu 12 Februari depan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau tidak dimaklumkan secara rasmi tetapi pemimpin tertinggi Pas itu pernah menyuarakan hasrat itu untuk memberi peluang kepada muka baru.

Menurut beliau, Abdul Hadi sebenarnya masih diperlukan dalam Pas kerana pengalamannya yang berjaya membawa parti itu ke kemuncaknya.

Sementara itu, Ketua PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman menyifatkan pengunduran itu sebagai sikap pemimpin Pas yang amanah.

Fauzi berkata, sebagai rakan seperjuangan beliau memuji Abdul Hadi kerana berjaya membawa Pas kepada pentadbiran Pas yang lebih kukuh.

“Ini satu kemuliaan dalam pemimpin Pas, sanggup berundur dan bersedia memberi peluang kepada muka baru,” katanya.

Beliau juga percaya Pas Terengganu akan kukuh di bawah pelapis baru dan mengekalkan persahabatan dalam PR.SH

No comments: