Saturday, April 7, 2012

PRU 13!!!PAS Terengganu sasar menang 22 kerusi Dun


Satiful-Bahri-Mamat
KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu menyasarkan kemenangan di 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, kesemua jumlah kerusi yang dinyatakan itu dilihat berada dalam zon selesa untuk memastikan kemenangan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya akan datang.

“Bagaimanapun kita menjangka kemenangan sekurang-kurangnya di 17 kerusi Dun untuk memastikan pembangkang dapat merampas semula Terengganu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu,di Jalan Sultan Omar, di sini.

Ditanya jumlah kerusi sebenar yang bakal ditandingi Pas, beliau enggan mengulas dan menyerahkan kepada pimpinan di peringkat Pusat untuk membuat keputusan.

Beliau yang juga tidak mahu mengungkit masalah pembahagian kerusi antara Pas dan PKR turut memberikan jawapan bahawa pertemuan kali pertama dengan kedua-dua parti tersebut sebelum ini dianggap telah selesai.

Pertemuan itu dibuat sebelum PKR menyatakan hasrat untuk memiliki 11 kerusi Dun dan tiga Parlimen pada 4 Mac lalu.

“Kita sudah mendapat kerjasama daripada kedua-dua pihak dan dari segi pembahagian kerusi sudah ada persetujuan, ia berdasarkan kepada apa yang diputuskan oleh Pusat kelak,” katanya.

Satiful Bahri turut menyatakan kesanggupan bahawa beliau tidak kisah sekiranya keputusan yang dimuktamadkan pimpinan pembangkang di peringkat Pusat kelak berkemungkinan memberi tambahan kerusi kepada PKR.

Sementara itu, beliau mengakui, Pas hampir pasti meletakkan calon wanita di negeri ini dan melihat potensi wanita ketika ini turut membantu kemenangan kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Berhubung pandangan bahawa calon wanita tidak mampu menyumbang kerusi kepada pembangkang di Terengganu, beliau menyifatkan perkara itu tidak berlaku dan telah terbukti apabila calon wanita pertama Pas, Khatijah Sidek menang di kerusi Parlimen Dungun pada 1959.

“Kalau tiada wanita pun, kita ada enakmen yng membenarkan untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam kalangan wanita dan kita hampir pasti meletakkan calon wanita,” katanya.

No comments: