Monday, April 2, 2012

REVOLUSI FACEBOOK!!! Semarak kebangkitan anak muda

Karamah [ kemuliaan ] sebuah perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan yang menepati manhaj perjuangan Islam ialah pertolongan Allah swt yang tidak pernah putus. Biarpun ia cuba disekat oleh musuhnya dari segenap arah, namun senantiasa ada lorong yang membawa perjuangan ini ke mercu jaya melepasi segala halangan yang dirintang.

Malaysia antara sebuah negara pengamal "demokrasi songsang" apabila kerajaan yang memerintah mengongkong dan menguasai media tanpa memberi laluan seimbang kepada parti bukan kerajaan untuk menyampaikan maklumat atau risalah perjuangan menerusi media arus perdana, samaada cetak atau elektronik.


Dunia maklumat menjadi sempit dan terhad. Masih segar dalam ingatan saya bagaimana seketika dulu, rutin ceramah PAS akan di adakan padang awam atau kawasan penempatan. Sementara tidak banyak cawangan PAS yang mempunyai markaz atau Pusat Tarbiyah sendiri. Seringkali PAS menganjurkan ceramah atau rapat umumnya di kawasan awam dan terbuka.


Malangnya selepas itu, pemerintah mengeluarkan pekeliling bahawa PAS tidak boleh mengadakan ceramah dikawasan awam tanpa permit kecuali di markaz atau kawasan persendirian. Akhirnya kita boleh lihat sendiri hari ini, bahawa hampir tiada cawangan dan kawasan PAS yang tiada markaz atau pusat tarbiyahnya sendiri dalam keadaan PAS bukan parti pemerintah kecuali hanya di Kelantan sebelum daripada ini. Fenomena ini adalah salah satu daripada karamah perjuangan .


PAS terus bergerak aktif melalui penganjuran pelbagai aktiviti luaran dan dalaman di markaz atau pusat tarbiyahnya, biarpun tidak lagi dibenarkan penganjuran di kawasan terbuka. Lebih menarik apabila perkembangan ini secara tidak langsung mendekatkan PAS dan aktiviti markaznya kepada masyarakat awam. Orang ramai yang ingin tahu mengenai PAS terpaksa datang sendiri ke markaz dan pusat tarbiyahnya setelah PAS dikekang dan ditohmah dari segenap arah. Ini satu lagi karamah perjuangan.

PAS juga disekat suaranya melalui media sebagaimana parti bukan kerajaan yang lain. Hanya berpada dengan Harakah yang terbitannya terhad kepada ahli sahaja untuk hanya 2 kali seminggu berbanding parti pemerintah yang boleh menguasai segala jenis chanel di televisyen dan radio. Pula menguasai pelbagai jenis akhbar cetak. Siang malam, pimpinan dan aktivis parti terpaksa bersengkang serta mengurangkan waktu rehat dan tidur bagi memikirkan jalan keluar agar maklumat semasa dan risalah perjuangan ini dapat menembusi setiap pintu rumah dan hati rakyat.

Sebagaimana yang telah saya tegaskan tadi bahawa perjuangan suci ini, selama ia berlandaskan syariat Allah swt. nescaya senantiasa ada pertolongan Allah swt lalu membuka jalan keluar dari segala bentuk kekangan. Era ini Allah swt menghantar teknologi kepada kita. Antaranya ialah jaringan sosial yang terkenal iaitu facebook. Ia juga sebahagian dari karamah perjuangan.


Pengguna Facebook di Malaysia kini mencecah hampir 12 juta orang, dengan kadar penembusan 69.91 peratus pengguna internet. Laman
socialbakers.com melaporkan, Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia. 53 peratus adalah pengguna lelaki dan 47 peratus pula wanita. Rata - rata dari kalangan mereka ialah anak muda.

Terdapat penambahan 200 ribu account baru setiap hari. Lebih dari 25 juta pengguna dari seluruh dunia yang aktif menggunakan Facebook setiap hari. Rata-rata pengguna menghabiskan waktu sekitar 19 minit setiap hari untuk melakukan pelbagai aktiviti di Facebook. Realiti ini meluaskan lagi potensi ziarah dan dakwah di talian cyber.

Memanafaat kekuatan medium facebook yang mempunyai jumlah pengguna berdaftar lebih 200 juta di seluruh dunia ini lah, gerakan perubahan dan pengislahan meletus sebagai satu gelombang besar yang melanda negara Arab dan akhirnya menjatuhkan regim Ali Zainal Abidin di Tunisia, Husni Mubarak di Mesir, Muammar Ghadaffi di Libya. Kini facebook mencetus fenomena serupa di Syria yang menyemarakkan kebangkitan rakyat tertindas sejak puluhan tahun yang lalu.


Rangkaian sosial yang popular seperti facebook ini telah mengatasi populariti rangkaian My Space. Saya melihatnya dari aspek positif tanpa menafikan sebahagian manusia gagal memanfaatkan facebook untuk kebaikan. Samaada mereka buta teknologi atau kerana mereka mengurus teknologi dengan nafsu dan syahwat bukan wahyu dan aqal.


Facebook boleh menjadi medium perjuangan yang baru selepas medium ceramah sekian lama menjadi aktiviti tradisi kita menyampaikan maklumat. Justeru itu, saya menegaskan bahawa menjadi satu ke"wajib"an bagi setiap anggota parti samaada pimpinan atau ahli biasa untuk memiliki sekurang - kurangnya satu akaun facebook yang aktif.


Setiap anggota parti mesti celik facebook atau twitter dan sebagainya, justeru kita hidup di zaman teknologi maklumat. Bukan sahaja kita tidak boleh memusuhinya malah kita mesti menangani dan menguasainya. Langkah bijak ialah seorang ahli satu facebook yang aktif.


Buka dan miliki akaun facebook, kemudian aktifkannya dengan ilmu yang benar dan maklumat yang tepat. Jauhkan fitnah dan maki hamun, sebaliknya tampilkan fakta dan figur serta perbahasan yang mudah dan jelas. Kuasai bahasa anak muda kemudian bimbing mereka dengan ilmu dan maklumat yang betul berpandukan petunjuk Rabbul Izzati.


Saya jangkakan revolusi facebook bakal tercetus mendepani pilihanraya umum akan datang dan anak muda adalah penggerak serta pemangkin kepada revolusi tersebut. Menyedari perkembangan penting ini, saya meletakkan para alim ulama' , cendikiawan
dan intelektual di senarai paling atas yang "wajib" menjadi aktivis facebook sebagai facebookers yang istiqamah dan berhikmah. Pimpin dan bimbing anak muda menuju cita - cita perubahan agar gelombang perubahan ini terarah dan tidak melewati batas akhlak pula gelincir dari sempadan moral.

Sebagaimana cabaran dan rintangan [ tribulasi ] yang kita hadapi sewaktu mengurus perjuangan di dunia ini , maka begitulah mehnah [ ragam ] dan ibtila' [ ujian ] serupa yang terpaksa kita depani di arena facebook. Jika dipentas perjuangan ini kita berdepan dengan pemuda tahan lasak, samseng politik, FRU, SB dan lainnya, maka tidak kurangnya di arena facebook kita berdepan cybertrooper, penyamar 1001 wajah, pengganas moral, pengacau, hackers dan lainnya.


Mulakan dengan bismillah, sertai medium baru ini dan sabar depani segala karenah serta tabah menyerap segala cabarannya.


Nasrudin bun Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

No comments: