Monday, June 25, 2012

RIDHUAN TEE MERAJUK!!! Lebih UMNO daripada UMNO


KOTA BHARU: Ulama Muda Umno, Fathul Bari memberitahu PAS sangat konsisten di mana politik tidak boleh dipisah dengan agama.

“Saya setuju di mana PAS sangat kosisten dalam isu tersebut. Saya pertegaskan ketaatan di atas perkara yang makruf.

“Apabila timbul segala masalah hendaklah kita rujuk kepada al Quran dan Hadis,” katanya pada Wacana Perdana anjuran kerajaan negeri di Balai Islam malam tadi.

Emosi

Wacana siri ke-11 mencatat sejarah apabila seorang lagi ahli panel, Prof Madya Dr Ridhuan Tee Abdullah tidak dapat mengawal emosinya apabila hujahnya mendapat respon negatif penonton.

Ada ketikanya selepas diberi peluang moderator, Amin Idris, pengacara TV9 Dr Ridhuan tidak mahu menjawab soalan mungkin terkilan dengan gelagat penonton.

Malah beliau dua kali bangun berdiri ketika menjawab soalan moderator dan penonton. Amalan itu tidak pernah berlaku sejak siri wacana diadakan tiga tahun lalu.

Penalis lain bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin dan anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan.

Penuh sesak

Wacana itu juga mencatat sejarah apabila kehadiran luar biasa sehingga ramai terpaksa mengikuti dengan menonton melalui skrin besar di luar dewan.

Fathul juga berkata, sejak lebih setahun menyertai Umno beliau telah memberi nasihat kepada pemimpin Umno secara tertutup dan bukan terbuka.

Selain itu beliau menganjurkan program usrah di Masjid PWTC dan merangka modul usrah.

Beliau yang agak petah membaca ayat-ayat al Quran dan Hadis serta membawa sirah-sirah pada awalnya menerima terjahan penonton apabila berkata, kalau hendak bercakap politik hendaklah keluar daripada kepompong agama.

“Antara PAS dan Umno sebenarnya bukan berpecah sebaliknya hanya berselisih pandangan. Maka saya datang ke sini malam ini untuk mencari kaedah membincangkan Islam dan bukan untuk berpecah,” ujarnya.

Orang Islam terancam

Dr Ridhuan Tee pula meluahkan rasa bimbang kerana baginya kekuatan orang Islam dan bukan Islam sekarang 50-50.

Menurutnya, orang bukan Islam tidak boleh hendak harapkan untuk selamatkan Islam.

“Saya juga tidak nampak agenda Islam lebih baik dengan apa yang dilakukan kerajaan sekarang atau kerajaan akan datang.

“Saya takut kita hanya menang sorak kalau tidak mahu berubah,” katanya, yang disifatkan penonton hujahnya mewakili kelompok Umno.

Beliau dilihat ramai cuba mengheretkan idea supaya PAS dan Umno bersatu bagi memperkuatkan orang Melayu dan Islam.

Umno khianati orang Melayu

Bagaimanapun hujah itu ditolak Dr Fadzli dengan menceritakan sejarah Umno merosakkan orang Melayu ketika pakatan dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuh pada 17 Oktober 1945.

Parti tersebut merupakan parti politik Melayu pertama ditubuhkan selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

“Semua pemimpin Melayu bernaung di bawah PKMM, namun pemimpin Umno secara senyap-senyap berunding dengan penjajah sehingga ditinggalkan PKMM selepas diberi habuan oleh Inggeris.

“Umno sekali lagi mengkhianati PAS apabila parti itu mulai mendapat sokongan selepas mendapat mandat besar pada pilihan raya 1974.

“Sedangkan semasa menghadapi peristiwa 13 Mei 1969 Umno mengharapkan kerjasama PAS bagi memperkuatkan orang Melayu, namun selepas menang selepas PAS ditendang keluar,” ujarnya.

Dr Asri pula meluahkan rasa hairan apa ancaman sebenarnya yang akan dihadapi orang Islam sekiranya ada perubahan pentadbiran negara selepas PRU-13 nanti.

“Adakah masjid akan diruntuhkan, orang Islam tidak boleh solat lagi, jadi kita hendak tahu apa yang terancamnya apabila orang Melayu membuat perubahan politik baru,” katanya.

No comments: