Thursday, July 5, 2012

PROJEK RM 244.5 JUTA!!!Kroni BN dapat projek selenggara kawalan trafik


Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mendedahkan, kerajaan Umno BN memberikan kontrak penyelenggaraan sistem kawalan trafik di seluruh negara kepada kroni mereka.

Katanya, projek bernilai RM244.5 juta itu diberi kepada Selex Sistemeni Integrati (Selex) dan Advanced Air Traffic Systems (AAT) dengan kontrak selama lima tahun.
Beliau berkata, berdasarkan dokumen sebut harga yang ditinggalkan di depan pejabatnya, anggaran penyelenggaraan untuk setiap tahun berjumlah RM45,142, 987.

“Ia meliputi Kawalan Trafik Udara (ATC) Kuala Lumpur, Subang Interim, Stesen Radar Pengawasan Menengah Monopulse (MSSR) Genting, Stesen Pengawasan Radar Rendah (PSR) dan Pengawasan Radar menengah (SSR) Langkawi, Kuching, Kota Kinabalu dan Miri.

“Ia turut melibatkan stesen PSR, SSR dan ATC Johor Bahru, Kota Bharu, Sibu, Penang, Tawau serta Kuala Terengganu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini pagi tadi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mendedahkan, kos keseluruhan penyelenggaraan Program Pemodenan Perkhidmatan Trafik Udara Malaysia (MATSMP) bernilai RM35,521,610 dalam empat lebel.

Izzah berkata, kerajaan memberikan kontrak secara runding terus kepada Selex dan AAT kononnya syarikat lain tidak pakar dengan sistem yang dipasang kedua-dua syarikat itu.

“Sepatutnya, tender perlu dibuat berasingan untuk mendapat nilai terbaik. Saya difahamkan sistem sedia ada di KLIA dibekalkan 10 syarikat berbeza,” katanya.

Lebih dikesalinya, kedua-dua syarikat itu bukan sahaja gagal menyelenggara sistem radar malah wujud kecacatan sistem trafik hingga mengancam keselamatan ruang udara.

Menurut Izzah, maklumat dalaman diperoleh daripada Jabatan Penerbagan Awam (DCA) mendapati, sistem radar telah beku daripada 0614z hingga 0625z selama lima saat.

“Selain itu, berlaku ‘rebooting’ komputer pegawai-pegawai trafik udara dan tiada pertukaran teknologi seperti yang dijanjikan Selex dan AAT.

“DCA terpaksa menunggu jurutera dari Itali hingga melambatkan bantuan teknikal yang diperlukan sedangkan kos kontrak adalah tinggi,” ujarnya.

Pada 8 Jun lalu, Izzah mendedahkan, projek MATSMP bernilai RM280 juta diberi kepada Selex dan AAT secara tender tertutup.

Selex merupakan sebahagian syarikat Finmeccanica Spa dari Itali dan terlibat pelbagai dakwaan rasuah di Itali, Cyprus, Panama dan Namibia.

Manakala AAT dimiliki oleh Tirai Variasi Sdn Bhd iaitu syarikat keluarga Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. -KD

No comments: