Saturday, August 11, 2012

TAHNIAH! Tamrin Ghafar Baba dulu ahli UMNO kini ahli PAS


Selepas kerap tampil di pentas PAS dan Pakatan Rakyat, bekas ahli Umno, Tamrin Ghafar (gambar) akhirnya meninggalkan parti itu dan secara rasmi menyertai PAS malam ini.

Anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Ghafar Baba itu menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis peringatan Badar Al Kubra di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUISZM), Taman Melawar malam ini.


Tamrin merupakan bekas Adun Ayer Molek dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Berendam selain bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) suatu ketika dahulu.


Tamrin dalam ucapannya berkata, beliau tidak terburu-buru membuat keputusan meninggalkan Umno.


Sebaliknya beliau mula memikirkan tindakan tersebut selepas melihat Umno tergelincir daripada landasan membela rakyat.


"Saya tidak buat keputusan ini terburu-buru tapi sejak lama dah saya fikir. Umno terkeluar daripada landasan membela nasib rakyat sejak 90-an lagi.


"Pelbagai perkara dilakukan termasuk menghina ulama. Walaupun ketika itu saya masih dalam Umno tapi saya tak setuju mereka hina ulama," katanya.


Tamrin turut berjanji akan membantu PAS dengan bersungguh-sungguh untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.


"Saya berjanji akan berkempen berhabis-habisan bersama tuan-tuan kerana saya lihat perjuangan PAS sangat ikhlas. Saya yakin kemenangan berpihak kepada PAS," katanya.


Beliau turut mengakui pemimpin-pemimpin PAS tidak boleh dijual beli.


"Saya kenal Mat Sabu dan (Tuan Guru) Abdul Hadi (Awang) dah lama.


"Mat Sabu tak pernah pun ajak saya masuk PAS tapi saya yang selalu suruh dia tinggalkan Umno," katanya.



Profil Mohd Tamrin bin Abdul Ghafar


Mohd. Tamrin bin Abdul Ghafar adalah ahli politik Malaysia berketurunan Melayu yang pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan Batu Berendam, Melaka dari tahun 1986 hingga 1995.


Tamrin pernah masuk PAS dan pernah juga menjadi ahli Al-Arqam.

Beliau turut bersama menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka dengan Tengku Razaleigh Hamzah; Abdul Kadir Sheikh Fadzir ; Zaid Ibrahim ; Ong Tee Keat; S. Subramaniam ; Wilfred Bumburing; Bujang Ulis; Mazlan Harun ;dan Daniel Tajem.


Beliau pernah menjadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO di zaman Anwar Ibrahim menjadi Ketua pergerakan itu.


Beliau pernah bertanding dan menang menjadi Ahli Parlimen kawasan Batu Berendam, Melaka selama dua penggal berturut-turut iaitu dari 1986 hingga 1995 (Pilihan raya umum 1986 dan 1990).


Ketika kempen Pilihan raya kecil Hulu Selangor 2010 di Bandar Sungai Buaya beliau turut bersama Anwar Ibrahim di atas pentas.


Perkara ini agak menghairankan kerana Anwar pernah ‘membungkus' bapanya dari jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993.


Anak saudaranya, Muhammad Zahid Md. Arip mendesak agar UMNO memecatnya kerana khianat kepada parti.


Pada 23 April 2012, Tamrin yang berucap bersama Anwar Ibrahim menegaskan beliau masih lagi ahli UMNO dan menyokong Perhimpunan Bersih 2012.


Tamrin pernah menjadi pengerusi MARA dari 15 Januari 1991 hingga 12 Januari 1993.

No comments: