Monday, October 8, 2012

ALASAN BANGGANG!!! Harga gula naik elak kencing manis, harga minyak masak naik untuk elak kolestrol?

Saya terasa bagikan kurang percaya membaca ulasan daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr AWang Adek Hussein di dalam Sinar Harian hari ini, 8 Oktober 2012 semasa mengulas isu kenaikan harga gula.

Di dalam kenyataan beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok, beliau menyatakan bahawa masyarakat harus memandang positif kenaikan harga gula yang diumumkan di dalam pembentangan Bajet 2013  baru-baru ini.

Menurut Awang Adek, kenaikan tersebut bertujuan untuk mengelakkan rakyat sakit akibat mengambil gula yang berlebihan.

Pada mulanya, saya menyangkakan barangkali kenyataan beliau telah tersalah lapor memandangkan agak mustahil seorang Timbalan Menteri mengeluarkan kenyataan sebegini dangkal.


Tetapi mengingat rekod beliau yang pernah ditabalkan sebagai bakal Menteri Besar Kelantan satu ketika dahulu, beliau pada hemat saya bukannya seorang yang cermat dalam mengatur gerak politik.

Sehingga hari ini, saya percaya, pertabalan beliau sebagai bakal Menteri Besar Kelantan satu ketika dahulu hanyalah untuk menyekatnya dari naik.

Teringat saya satu pepatah Greek yang di dalam bahasa Inggerisnya berbunyi, an old enemy never becomes a friend.

Hari ini, Awang Adek menyerlahkan satu lagi gerak catur politiknya yang menjemput checkmate.

Jika beginilah cara beliau menyokong kenaikan gula, ertinya beliau juga akan menyokong segala macam kenaikan harga selepas ini.

Kenaikan harga petrol untuk menyekat rakyat daripada boros ke sana ke mari, kenaikan harga minyak masak bagi mengelakkan rakyat mempunyai kolestrol berlebihan dan semestinya pemasangan kamera saman trafik yang  berselerak sudah tentu bagi mengelakkan kemalangan jalan raya!

Perlu diingat, hanya sekitar dua tahun lepas, harga gula masih di tangga RM1.65 sekilo. pada bulan Julai 2010, ia dinaikkan kepada harga RM1.90.

Bulan Disember tahun yang sama naik lagi kepada harga RM2.10 dan pada bulan Mei 2011 naik lagi kepada harga RM2.30. Justeru, kenaikan 20 sen sekilo yang diumumkan oleh Perdana Menteri di dalam pembentangan Bajet 2013 yang lepas ialah kenaikan yang kelima dalam tempoh 33 bulan.

Hakikatnya, harga gula hari ini ditentukan oleh pasaran yang dimonopoli oleh beberapa orang kroni tertenu sahaja. Sudah menjadi satu rahsia yang terbuka bahawa hanya terdapat empat sahaja kilang pemeroses gula di negara ini iaitu 4 kilang penghasilan gula di Malaysia iaitu MSM (Gula Prai) Sdn Bhd, Central Sugar Refinery Sdn Bhd, Gula Padang Terap Bhd dan Gula Felda Perlis Sdn Bhd.

Manakala individu yang paling bertuah dalam industri gula ini ialah Raja Gula Robert Kuok, mengekori daripada belakang ialah Tan Sri Syed Bukhary.


Pemilik empat syarikat ini sahaja yang diberikan permit untuk mengimport bahan-bahan bagi memperoses gula di negara ini. Selain daripada mereka, permit tidak dikeluarkan secara terbuka.


Sewajarnya, Awang Adek bersuara untuk menghapuskan amalan monopoli seperti ini yang akhirnya meletakkan harga gula berada di tangan mereka.

Saya sangat sangsi bahawa satu kontrak jangka masa panjang telah diberikan kepada mereka sehingga kerajaan seolah-olah menjadi ðicucuk hidung untuk mengikut telunjuk mereka.

Bolehkah sebenarnya harga gula diturunkan jika permit diberikan secara terbuka? Jawabnya boleh.

Ia dinyatakan sendiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu wawancara yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 26 Januari 2010.

Antara lain beliau berkata, "..Bagi kementerian ini, kita mencadangkan agar AP dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa yang ingin mengimport gula kerana kita balik kepada teori permintaan dan bekalan.

Jika berlaku lambakan gula di negara ini, harga akan turun. Cumanya, kita bimbang pula kalau harga gula turun, orang akan ambil gula berlebihan..."

Ertinya harga gula tidak mustahil boleh turun jika ia didagangkan secara terbuka tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada para kapitalis yang sudah buncit perutnya kerana kekenyangan ini.

Dari konteks kerajaan pula, subsidi 20 sen yang dipotong ini hanyalah memberikan pulangan penjimatan sebanyak RM163 juta sahaja, berbanding dengan kenaikan harga barang yang tentunya akan menghimpit kehidupan golongan marhaen.

RM163 juta yang dijimatkan oleh kerajaan hanyalah tiga kali ganda sewa rumah Perdana Menteri dan Timbalannya yang berjumlah RM49 juta setahun!

Saya kira Awang Adek lebih nampak cerdik jika diam atau setidak-tidaknya memperrsoalkan amalam monopoli yang sedang berlaku pada hari ini.

Bukan saya sahaja yang kesal dengan amalan monopoli ini, bahkan Awang Selamat dalam kolumnya di Utusan Malaysia turut kesal. Rujuk sahaja Utusan Malaysia 3 Januari 2010.

Jika Utusan Malaysia yang dipercayai oleh PERKASA inipun sudah bangkit bersuara dalam isu monopoli import gula, maka apatah lagi kita rakyat biasa?

2 comments:

Anonymous said...

Harga gula naik elak kencing manis, harga minyak masak naik, elak kolestrol, harga garam naik, elak darah tinggi, harga minyak naik elak kereta laku dipasaran...

Anonymous said...

Dah mcm lagu bangau oh bangau da..yang dijaganya barang diorang mesti naik