Pas Kelantan tidak sokong sesiapa 
KOTA BHARU - Perwakilan Pas Kelantan berhak memilih pucuk pimpinan diinginkan walaupun dua pemimpin mereka, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa menawarkan diri untuk merebut jawatan timbalan dan naib presiden parti pada pemilihan agung November depan.

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Datuk Hassan berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada perwakilan tambahan pula mesyuarat Badan Perhubungan Pas Negeri tidak pernah membuat sebarang ketetapan mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, bukan amalan Pas Kelantan untuk menetapkan sokongan kepada mana-mana pihak dalam pemilihan parti itu.

“Tidak ada sebarang ketetapan dibuat oleh Pas negeri untuk menyokong calon-calon dari negeri ini, terpulang kepada individu untuk membuat pertimbangan dan memilih calon yang terbaik.


“Mohd Amar pun kata ini pertandingan adik beradik, jadi terpulang kepada perwakilan untuk memilih,” katanya ketika mengulas pemilihan agung parti itu yang diadakan pada 22 November ini.

Beliau ditemui media ketika menghadiri Majlis Pengurniaan Biasiswa Kecil Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di sini, semalam.

Pemilihan kali ini menyaksikan Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan bakal menentang Mohamad Sabu yang juga penyandang jawatan Timbalan Presiden Pas.

Manakala Husam yang juga Naib Presiden Pas akan mempertahankan jawatan tersebut walaupun berdepan saingan lima penjuru apabila dua penyandang, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Abu Bakar Chik akan bertanding merebut jawatan itu.SH