Thursday, November 14, 2013

PEMILIHAN PAS!!! Ust. Khalil berhasrat jadikan Pemuda PAS lebih relevan


KUALA LUMPUR: Calon Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berhasrat membawa Pemuda PAS ke arah yang lebih relevan bersesuaian dengan suasana masa kini, khususnya dalam usaha menarik lebih ramai anak muda.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini Khalil berhasrat untuk mempelbagaikan pendekatan dalam Pemuda PAS agar menjadi lebih kukuh dalam usaha meneruskan perjuangan Islam yang dibawa PAS.

"Saya bersedia memastikan kesinambungan dasar perjuangan PAS itu diteruskan mengikut suasana zaman sekarang melalui pendekatan yang pelbagai. Yang sedia ada sudh baik, cuma mahu dikembangkan lagi agar menjadi lebih baik untuk semua," tegas beliau.

Menyifatkan perjuangan bersama Pemuda PAS bukan sebagai perjuangan peribadi, Khalil berkata perjuangan itu akan digerakkan bersama secara kolektif bagi memastikan Pemuda PAS benar-benar menjadi satu badan yang memahami kehendak anak muda.

Dalam pada itu, beliau menyerahkan kepada para perwakilan dalam menentukan kedudukan beliau dalam sayap parti itu pada muktamar akan datang.

"Saya serahkan kepada perwakilan, yang saya fikir saya yakin dengan kematangan dan kebijaksanaan para perwakilan," kata beliau lagi.

Pada pemilihan kali ini, Khalil akan bersaing dengan Naib Ketua Pemuda PAS, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob bagi mengisi kerusi timbalan ketua yang dikosongkan oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Manakala, bagi kerusi Ketua Pemuda PAS, berlaku persaingan antara tiga calon iaitu Suhaizan Kayat, Kamaruzzaman Mohamad dan Zulhazmi Shariff.

Bagi kerusi Naib Ketua Pemuda juga menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan Ir Mohd Khairul Nizam Khairuddin.

Ia dikosongkan oleh Dr Raja Ahmad Iskandar yang bertanding timbalan ketua.

Seramai 26 orang akan bertanding untuk mengisi kerusi AJK Dewan Pemuda.

No comments: