Wednesday, June 23, 2010

Menjelang Pilihanraya Sarawak : Penduduk Penan diserang


KUCHING , 23 Jun : Polis Sarawak didakwa menyokong keganasan apabila membenarkan syarikat pembalakan Lee Ling Sdn Bhd, membubarkan sekatan di jalan-jalan balak di kawasan penempatan peribumi Sarawak di Limbang.

Merujuk kepada kejadian 20 Jun lalu, kumpulan pejuang hak kaum peribumi, Yayasan Bruno Manser (BMF), berkata Lee Ling menghantar tiga anggota polis yang tidak berpakaian seragam dengan kenderaan syarikat berkenaan ke kawasan sekatan di Long Sebayang.

Seorang anggota polis itu yang dilengkapi dengan sepucuk pistol dan mengarahkan penduduk sekitar supaya yang membubarkan sekatan dan memberi laluan kepada Lee Ling untuk membawa keluar balak yang ditebang.

Menurut penduduk tempatan, Lee Ling bercadang untuk menebang pokok di kawasan berkenaan dan menjadikannya sebagai kawasan perladangan.

Sekatan berkenaan didirikan oleh penduduk Lun Bawang, Penan dan Tabun dari kampung sekitar sebagai usaha terdesak mereka sejak kebelakangan ini bagi menghalang tanah adat dan pusaka mereka daripada terus dicabuli. Walaupun banyak sekatan didirikan, sebahagian besarnya telah dirobohkan oleh polis.

Kerajaan Taib tidak mengiktiraf Hak Pusaka Orang Asli (NCR) meskipun ia termaktub dalam adat resam mereka dan juga perlembagaan negeri dan persekutuan.

Penduduk di kawasan pendalaman Limbang itu juga membuat laporan polis mendakwa dikasari oleh pekerja Lee Ling. Namun mereka mendakwa, tiada siasatan polis dijalankan berbanding sokongan yang diberikan kepada syarikat pembalakan itu.

Aking Anung, seorang penduduk Penan dari kampung Long Keneng, membuat laporan polis di Limbang, mendakwa dia diserang di sekatan jalan oleh pengurus Lee Ling yang bernama “Ah New”, pada hari polis membuat lawatan. Dakwa Aking, pengurus itu mengugutnya dengan sebilah parang.

Setelah diserang, Aking berkata dia melarikan diri kerana tidak mahu dicederakan.

Bita Pelisi, seorang lagi penduduk di sekatan jalan itu juga mendakwa “Ah New” menyerangnya di bahagian muka sehingga menyebabkan hidungnya berdarah.

Katanya, pekerja Lee Ling kemudian mengugut penduduk bahawa mereka akan membawa lebih ramai orang untuk membelasah mereka jika sekatan tidak dirobohkan.

Raziah Mahmud, adik kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, adalah antara lembaga pengarah di firma Quality Concrete, yang merupakan syarikat induk Lee Ling.

Read more ...

Tahlil Perdana Almarhum Dato' Fadzil Noor


POKOK SENA, 23 Jun : Muasasah Darul Ulum (MDU) tidak melupakan jasa pengasasnya apabila mengadakan Majlis Tahlil Perdana Bersama Ulama sempena lapan tahun pemergian Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang diadakan pada hari ini di Masjid MDU jam 8 malam.

Pegawai MDU, Mohd Zikri Zakaria berkata, program itu dibuka kepada orang ramai untuk turut serta selain mengalu-alukan sesiapa yang mahu turut menyertakan nama arwah waris mereka untuk dibaca bersama di dalam majlis berkenaan.

Menurutnya, sejak lapan tahun lalu, MDU tidak pernah melupakan jasa pengasasnya yang membuka tempat pengajian Islam khusus kepada mereka yang mahu mempelajari bidang agama.

“Hari ini MDU terus gagah berdiri dalam melahirkan ilmuwan Islam dan kami bersyukur masyarakat terus memberi sokongan kepada kewujudan tempat ini selain menjadi tempat aktiviti kemasyarakatan berkumpul dari semasa ke semasa.

"Sempena pemergian arwah Fadzil Noor, kita mengadakan majlis tahlil yang melibatkan masyarakat selain membuka kepada orang untuk menyertakan nama arwah waris untuk dibaca bersama dalam majlis itu,” katanya.

Datuk Fadzil Noor meninggal dunia pada 23 Jun 2002 selepas kira-kira dua minggu menjalani pembedahan pintasan pembuluh jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Mohd Zikri berkata, selain turut menyertakan nama waris untuk dibaca bersama di majlis itu, masyarakat juga boleh menyampaikan sumbangan untuk tujuan kebajikan dan amal jariah.

“Program ini juga bermatlamat untuk memperkenalkan MDU kepada masyarakat luar dan usaha ini berterusan sejak dari dahulu lagi selain mengadakan program seperti majlis tahlil ini,” katanya.

Tambahnya, beliau mengalu-alukan masyarakat untuk hadir pada malam ini selain mendengar ceramah yang akan disampaikan penceramah jemputan.SH

Read more ...

Bijak atur masa tengok bola



PARIT BUNTAR, 23 Jun : Demam bolasepak Piala Dunia 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan sememangnya menjadi hangat apabila setiap kali perlawanan mendapat tempat dihati peminat bolasepak Malaysia.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar Hairul Nizam Ishak berkata, walaupun negara tidak layak untuk menyertai kejohanan ini, namun minat yang terlalu mendalam terhadap bolasepak menjadikan ia satu pesta yang tidak mengenal bangsa, agama, jantina mahupun budaya.

"Namun begitu jangan sampai kita lupa kerja kita keesokannya.

"Memang diakui bolasepak sebagai himpunan sukan yang hebat dan minat masyarakat terhadapnya memang tidak pernah berubah" katanya

Beliau yakin kedai-kedai mamak 24 jam menjadi medan setia bagi peminat bolasepak di Parit Buntar.

"Saya fikir ia tidak akan jejaskan prestasi kerja untuk jadual perlawanan 7.00 malam dan 9.00 malam. Akan tetapi perlawanan yang babitkan 2.30 pagi sudah pasti akan mengantuk untuk ke tempat kerja.

"Kadangkala apabila diperhatikan, waktu 2.30 pagi juga penuh kedai-kedai mamak dikunjungi pelanggan menonton bolasepak. Seolah-olah pada pagi hari tidak bekerja" katanya

Menurutnya, pelajar sekolah yang turut mempunyai minat yang sama sedangkan mereka bersekolah keesokannya.

" Ini akan menjadi bahan amarah guru apabila tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas.

"Saya mendapat rungutan para ibu khususnya apabila suami dan anak mereka agak susah untuk bekerja dan ke sekolah pada waktu pagi. Ada pelajar sekolah yang menyambung cuti selepas dua minggu cuti penggal dan para suami mula ambil cuti sakit" katanya

Tambahnya, masyarakat perlu mempunyai tidur yang cukup untuk bekerja dan belajar.

"Tidak salah menonton bola akan tetapi ambillah langkah bijak menyusun masa untuk menonton bolasepak dan waktu tidur.

"Walaupun hanya untuk sebulan sahaja akan tetapi ia boleh menjejaskan prestasi kerja dan juga pembelajaran kita" katanya

Read more ...

Tindakan diskriminasi


KUALA LUMPUR, 23 Jun : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Putrajaya menyerahkan dana bernilai RM20 juta kepada Khazanah Nasional Berhad untuk membangunkan tapak warisan bersejarah di Pulau Pinang.

Menurutnya, adalah tidak adil ekoran kerajaan negeri Pulau Pinang tidak diberikan dana itu secara terus sedangkan Melaka diberikan RM30 juta untuk menguruskan tapak warisan.

”Kenapa beri dana kepada Khazanah untuk diuruskan? Ia merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan itu bukanlah kemahiran mereka untuk menguruskan dana tersebut.

”Ini jelas merupakan diskriminasi dan ia menghukum kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen semalam.

Beliau berkata, keengganan kerajaan untuk membenarkan Pulau Pinang mengakses dana sendiri kerana negeri itu diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) manakala Melaka di bawah Barisan Nasional (BN).

”Kerajaan tidak seharusnya berat sebelah mengenai hal ini. Ini berkaitan dengan warisan dan kita harus berbangga mengenainya. Kerajaan perlu memberi layanan yang adil apabila berhubung dengan hal warisan,” katanya.

Katanya, setakat ini Pulau Pinang membelanjakan RM3 juta daripada RM20 juta peruntukan yang diberi Khazanah namun beliau tidak mendedahkan butir-butir lanjut mengenainya.

Dalam pada itu, perkara tersebut cuba ditekankan Guan Eng ketika sesi soal jawab dalam dewan sebelum ini.

Namun pihak Kementerian Kewangan dalam jawapan balasnya mengatakan RM25 juta peruntukan ditarik balik ke atas Pulau Pinang ekoran kerajaan membentuk pembangunan Khas tapak warisan bersejarah seperti yang dikehendaki oleh Unesco.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim berkata, RM20 juta itu ditarik balik kepada Khazanah untuk membangunkan bangunan warisan di Pulau Pinang.

”Adakah pihak menteri akan memberi jaminan bahawa kami juga akan dapat dana itu secara terus seperti Melaka? Kami tidak mahu situasi di mana satu negara tetapi wujud dua sistem yang mengendalikan hal ini,” katanya.SH

Read more ...

Mahkamah wujudkan kecelaruan?









KUALA LUMPUR, 23 Jun : Isu sama ada Saudara Tian Chua masih layak menjadi Ahli Parlimen Batu kini hangat dibincangkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan mengurangkan hukuman denda ke atas Tian Chua daripada RM 3000-00 kepada RM 2000-00.

Isu ini melibatkan tafsiran Artikel 48 ( 1 ) (e ) Perlembagaan Persekutuan ( PP ). Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan dengan kehilangan kelayakan Ahli Parlimen.

Salah satu sebab yang membolehkan seorang Ahli Parlimen seperti Tian Chua boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen adalah jika Ahli Parlimen itu disabitkan atas sesuatu kesalahan dan dihukum dengan hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari satu tahun atau hukuman denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan Ahli Parlimen itu tidak mendapat pengampunan bebas.


Dalam isu Tian Chua ini isunya adalah berkisar kepada frasa “ hukuman denda tidak kurang dari dua ribu ringgit’. Apakah tafsiran yang sebenar tantang frasa tersebut ? Adakah tidak kurang dari dua ribu ringgit termasuk denda sebanyak RM 2000 atau denda RM 2000 tidak termasuk dalam frasa tersebut ?

Melihat kepada alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi ketika mengurangkan hukuman ke atas Tian Chua, hakim tersebut nampaknya tidak bersetuju pilihan raya kecil diadakan di Parlimen Batu. Atas dasar itu beliau mengurangkan hukuman denda daripada RM 3000 kepada RM 2000.

Saya pasti hakim tersebut sedar tentang kewujudan Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan semasa beliau membuat keputusan. Secara tersiratnya apabila beliau menjatuhkan hukuman denda RM 2000-00 ke atas Tian Chua , hakim tersebut boleh dikatakan berpendapat denda RM 2000 tidak menyebabkan hilangnya kelayakan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen.

Mengapa saya menyimpulkan Hakim tersebut boleh dikatakan berpendapat denda RM 2000 tidak menyebabkan hilangnya kelayakan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen. Jawapannya mudah. Pertamanya beliau bersetuju dengan hujah mitigasi ( pengurangan hukuman ) yang dibuat oleh peguambela Tian Chua untuk mengurangkan denda sehingga ke tahap yang membolehkan Tian Chua tidak hilang kelayakan sekaligus dapat mengelakkan pilhanraya kecil.

Bukti beliau menerima hujah peguambela tersebut amat jelas apabila beliau dengan secara terus terang di dalam penghakimannya menyatakan pendirian beliau yang tidak bersetuju pilihanraya kecil diadakan. Oleh itu hakim tersebut bertindak mengurangkan denda kepada RM2000 sahaja di atas keyakinan beliau bahawa hukuman denda RM 2000 tersebut tidak mengakibatkan Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Secara tersirat kita boleh katakan Hakim tersebut berpendapat bahawa denda RM 2000 tidak termasuk dalam frasa “ hukuman denda tidak kurang dari RM 2000” yang dinyatakan di dalam Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan.

Bagi saya adalah lebih wajar hakim tersebut mengurangkan denda Tian Chua kepada jumlah kurang dari RM 2000 seperti RM 1900 misalnya bagi mengelakkan kecelaruan. Dalam keadaan beliau bersetuju tidak wajar diadakan pilihanraya maka adalah lebih elok beliau mengurangkan hukuman denda kepada jumlah yang kurang dari RM 2000.

Apa pun beliau telah menjatuhkan hukuman denda RM 2000 ke atas Tian Chua. Adakah hukuman RM 2000 itu boleh menyebabkan Tian Chua kini boleh dikatakan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Batu di bawah Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan.

Karpal Singh menyatakan hukuman denda RM 2000 menyebabkan Tian Chua hilang kelayakan. Mereka yang menyatakan Tian Chua tidak hilang kelayakan berpegang kepada tafsiran Mahkamah Agung ( pada masa itu ) di dalam kes Pendakwa Raya lwn Leong Ying Ming ( 1993 ) 1 MLJ 177 Mahkamah Agung diminta menafsirkan seksyen 41B( 1 ) ( b ) Akta Dadah Berbahaya. Mahkamah memutuskan frasa hukuman penjara tidak kurang dari 5 tahun bermaksud “ hukuman penjara lebih dari 5 tahun iaitu dari 5 tahun 1 hari hingga hukuman penjara seumur hidup” . Diterjemahkan dalam konteks kes TianChua ia bermaksud jikaTian Chua dikenakan hukuman lebih dari RM2000-00 barulah beliau dikatakan hilang kelayakan.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan pendapat Karpal Singh yang menyatakan bahawa hukuman denda RM 2000 itu mengakibatkan Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Saya berpendapat perkataan “ denda tidak kurang dari RM 2000-00” di dalam Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan adalah terlalu jelas iaitu ia merangkumi hukuman denda RM 2000-00 dan lebih. Dengan lain perkataan jika seseorang Ahli Parlimen itu didenda RM 2000 atau lebih beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Sebenarnya telah ada precedent sebelum ini bagi kes sebegini.Di dalam kes Fan Yew Teng pada tahun 1975 , Ahli Perlimen DAP tersebut telah diputuskan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Mengelembu apabila beliau disabitkan bersalah di atas tuduhan hasutan dan didenda RM 2000. Bagi saya kes Fan Yew Teng lebih wajar dirujuk dari kes Pendakwa Raya lwn Leong Ying Ming kerana kes Fan Yew Teng melibatkan isu penafsiran Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan sama dengan isu Tian Chua.

Ingin saya tegaskan di sini meskipun saya berpendapat hukuman denda RM 2000 menyebabkan Tian Chua boleh dikatakan hilang kelayakan ini tidak bermakna saya setuju dengan hukuman tersebut. Hakikatnya saya merasa pelik bagaimanakah hakim Mahkamah Tinggi boleh mengekalkan sabitan keputusan Mahkamah Majistret yang memutuskan Tian Chua bersalah dalam keadaan keterangan pendakwa bahawa Tian Chua menggigit pegawai polis penuh dengan keraguan. Saya lebih nampak kedua-dua keputusan Magistret dan Hakim mahkamah Tinggi itu adalah keputusan yang tidak betul atau boleh dikatakan “keputusan politik” semata-mata.

Mengenai komen Hakim bahawa pilihan raya kecil akan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan rakyat bagi saya adalah alasan yang nampaknya semacam senada dengan suara pemimpin Umno. Bukankah Najib juga pernah mengatakan lebih kurang macam Hakim itu bercakap semasa memboikot pilihanraya kecil Dun Penanti satu ketika dahulu?

Mohamed Hanipa Maidin

Read more ...

Laporan polis terhadap Najib

NONE













KUALA LUMPUR, 23 Jun : Laporan polis akan dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di seluruh negara berhubung isu kejatuhan rizab tunai Felda yang merosot daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata, laporan polis juga akan dibuat terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan atas perkara yang sama.

Mazlan berkata, ia kerana alasan dalam jawapan Ahmad di Parlimen mengenai sebab kejatuhan rizab tunai Felda itu, tidak masuk akal.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat 16 Jun lalu, Hamim Samuri (BN-Ledang) menyoal timbalan menteri tersebut berhubung status kewangan Felda dan perincian bagaimana wang itu dibelanjakan bagi tujuan pembangunan masyarakat.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahmad yang juga ketua penerangan Umno menjelaskan status kewangan Felda adalah RM4.08 bilion pada 2004, jatuh kepada RM1.35 bilion pada 2009.

NONEKatanya, perbezaan tersebut berlaku kerana ia digunakan untuk tujuan kebajikan - RM2 bilion untuk tanaman semula, RM603 juta untuk pinjaman rumah tanpa faedah, RM253 juta bagi tabung pembasmian kemiskinan Sabah dan RM662 juta untuk pembinaan ibupejabat baru Felda.

"Isu ini sangat besar kerana membabitkan wang rakyat. Ke mana pergi duit itu? Saya mengharapkan siasatan terhadap isu ini dibuat," kata Mazlan ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Hari ini, Mazlan bersama empat orang peneroka felda Pahang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada jam 10 pagi tadi, dengan diiringi oleh 30 peneroka Felda.

Laporan polis tersebut ialah mengenai relevannya Felda membiayai dana khas kemiskinan Sabah sedangkan penempatan peneroka di negeri tersebut terlalu kecil.

"Felda Plantation, Estet Felda yang terbesar di Malaysia terletak di Felda Gugusan Sahabat (Sabah). Kenapa tidak digunakan keuntungan dari Felda itu (Plantation),'' laporan polis tersebut dipetik.

NONELaporan itu juga menyebut, harga bangunan baru Felda setinggi 50 tingkat yang dibina di Platinum Park KLCC yang mencecah RM662 juta, juga dipertikai.

Ia memetik laporan akhbar Berita Harian sisipan khas 26 Februari 2008, yang menyebut bangunan tersebut ialah RM640.77 juta.

"Wang peneroka Felda telah dibazirkan sesuka hati. Adakah betul untuk kepentingan rakyat atau kegiatan politik kerajaan BN kerana Felda adalah talian hayat terakhir mereka," laporan polis itu dipetik.

Laporan polis itu mendakwa, penyelewengan dan salahguna kuasa tersebut membabitkan kepentingan 112,635 openeroka dan 800,000 generasi baru Felda.

Sementara itu, Mazlan berkata, laporan polis yang sama akan dibuat oleh ANAK di Johor Jumaat ini dan diikuti oleh negeri-negeri lain selepas itu.Malaysiakini

Read more ...

Wahabi tidak ada kena mengena dengan teroris



KUALA LUMPUR, 23 Jun : Mengakui mendapat pendidikan di universiti Wahabi dan mendapat tajaaan 'biasiswa Wahabi', Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, itu tidak menghalangnya daripada mempunya pandangan yang tersendiri dalam hal ehwan agama.

"Saya memang belajar di universiti Wahabi, dapat biasiswa Wahabi," katanya sambil tersenyum.

"Tetapi saya ada pandangan saya sendiri," jelasnya lagi seperti dilaporkan akhbar web PAS Harakahdaily.

Semasa mudanya Abdul Hadi pernah menuntut di sebuah universiti di Arab Saudi - negeri yang dikaitkan dengan fahaman Wahabisme.

Malaysiakini difahamkan dalam mesyuarat anti-keganasan anjuran pihak polis Isnin lalu seorang pegawai daripada sebuah agensi agama memberikan penerangan tentang 'hubungan' beberapa tokoh agama dan politik dengan Wahabi dan Jemaah Islamiah (JI).

Menurut sumber-sumber, selain Abdul Hadi, turut dikaitkan sama dengan 'lingkaran' itu, antaranya bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas mufti negeri Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan mufti sekarang Dr Juanda Jaya.

Ditemui di pejabat pembangkang di Parlimen sebentar tadi, Abdul Hadi berkata cubaan mengaitkan fahaman Wahabi dengan Jemaah Islamiah (JI) atau terorisme adalah agenda Barat serta musuh yang mahu memburukkan Islam.

Katanya, musuh Islam sememangnya menggunakan isu perbezaan mazhab untuk memecahkan umat Islam.

"Wahabi tidak ada kena mengena dengan teroris pun, itu satu agenda Barat dan musuh Islam," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Read more ...

Tuesday, June 22, 2010

Zambry bakal diganti


















IPOH, 22 Jun :
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) melihat dengan kehadiran Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno yang telah merasmikan Persidangan Mesyuarat Agung Umno Bahagian Bagan Datoh dan juga mengadakan lawatan kerja sehari di Kawasan Parlimen Bagan Datoh pada hari Ahad (20 Jun 2010) yang lalu sebagai signal kepada kepimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang di lihat telah gagal di dalam memulihkan politik Negeri Perak.

Pelbagai perkara yang telah disentuh oleh Datuk Seri Najib di dalam ucapannya yang amat sinis terhadap kepimpinan Datuk Seri Zambry yang bukan pilihannya sebagai Menteri Besar Negeri Perak selepas rampasan kuasa dahulu.

Ianya adalah pilihan daripada Tun Abdullah Badawi yang ketika itu sebagai Perdana Menteri yang juga Presiden Umno. Yang jelasnya, dengan lawatan kerjanya di Bagan Datoh memberikan gambaran bahawa ‘orang pentingnya’ menjadi pilihan untuk di lawati.

Mengapa Datuk Seri Najib tidak membuat lawatan kerjanya di Perak melalui Umno Negeri Perak atau Kerajaan Negeri Perak?

Sudah tentu Datuk Seri Najib tidak selesa atau kurang senang dengan Datuk Seri Zambry yang tidak membantu perkembangan politik Umno di Perak yang mendatangkan perasaan tidak puas hati ‘orang lama’ di dalam Umno itu sendiri.

Kehadiran Datuk Seri Najib menjelaskan apa yang akan berlaku di Perak yang memungkinkan perubahan besar menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti.

Read more ...

Saman Red Carpet



KOTA BHARU, 22 Jun : Kerajaan negeri sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Red Carpet Sdn Bhd berhubung kenyataan syarikat itu yang menjejaskan nama baik kerajaan negeri dalam isu Kelantan Fiesta 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata kenyataan Red Carpet di dalam media yang didapati telah menjejaskan imej kerajaan negeri kerana memboikot acara Kelantan Fiesta itu.

"Hakikatnya menurut perjanjian yang dimeterai antara Red Cerpet dan kerajaan negeri pada 24 Ogos 2009 di Kuala Lumpur menetapkan agensi kerajaan negeri Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sebagai penganjur manakala Red Carpet sebagai pengurus acara Fiesta Kelantan 2010," katanya semasa mengulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri penggal ketiga, di sini hari ini.

Beliau berkata disebabkan perasmian acara besar yang akan dirasmikan Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, maka kerajaan negeri membuat keputusan untuk mengambil alih acara itu daripada PMBK.

Beliau berkata pihak Red Carpet telah menolak permintaan kerajaan negeri supaya Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat ucapan pada majlis perasmian acara itu dan tindakan itu bertentangan dengan perjanjian awal yang dimeterai kerana kerajaan negeri sebagai penganjur dan juga hos kepada acara itu.

Takiyuddin berkata semasa acara perasmian itu diteruskan pada 16 Jun, di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, bekalan elektrik terputus di stadium menyebabkan acara itu tidak dapat dilangsungkan secara sempurna.

"Bagaimanapun setelah beberapa hari, pihak penganjur telah mengeluarkan kenyataan media bahawa kerajaan negeri telah sabotaj acara itu hasil daripada post-mortem mereka," katanya.

Beliau menjelaskan, laporan Jabatan Kerja Raya mendapati peralatan yang digunakan pada acara itu melebihi bekalan kuasa yang mampu ditanggung oleh stadium.

Katanya beliau turut menjelaskan kerajaan negeri tidak merampas kain rentang acara itu yang diletakkan di sekitar bandar Kota Baharu sebaliknya ia dikutip oleh majlis perbandaran Kota Baharu kerana ia terjatuh di atas tanah akibat ribut dan hujan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bio-Teknologi Negeri Che Abdullah Mat Nawi berkata Kelantan kini berhasrat untuk membangunkan sebuah makmal bagi penyelidikan bio-teknologi untuk pertanian bernilai RM300,000.

Katanya kerajaan negeri telah menjalankan kajian dengan sebuah universiti tempatan bagi menggunakan sisa buangan ladang dan menjadikan bahan buangan seperti hampas padi dan kelapa sawit sebagai baja organik.

"Baja organik ini merupakan elemen yang bersih daripada elemen kimia dan boleh dimajukan kepada tahap yang lebih untuk memberi manfaat kepada pendapatan kerajaan negeri dan sektor pertanian," katanya. Bernama

Read more ...

Amalan kronisme BN khianat amanah kerajaan



SHAH ALAM, 22 Jun : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas kelompok syarikat swasta yang gagal memberikan pulangan sewajarnya meskipun menerima pelbagai bantuan dari kerajaaan.

Khalid memberi amaran amalan kronisma pemerintah Barisan Nasional merencatkan potensi sektor ini yang gagal menjadi pemacu ekonomi sebenar, sebaliknya menjadi parasit yang membebankan.

Tan Sri Khalid berkata demikian ketika membahaskan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 di Dewan Rakyat hari ini.

Tokoh korporat ini berkata agenda penswastaan besar-besaran yang diberi nafas baru oleh Perdana Menteri Najib Abdul Razak hanya akan mewujudkan monopoli korporat yang tidak mampu berdiri diatas kaki sendiri tanpa disuap geran dan suntikan wang rakyat.

"Malaysia mempunyai rekod yang sangat buruk dalam agenda penswastaan sebelum ini, dengan terdapatnya kepincangan pengalihan dana awam dan tanggungjawab kepada kroni dalam sektor korporat yang tidak mampu memberikan pulangan yang cekap dalam tugas mereka,"

Dalam pada itu, Tan Sri Khalid mengingatkan kerajaan untuk tidak tunduk kepada tekanan pemodal untuk menswastakan industri yang memberi kesan langsung kepada kebajikan rakyat jelata.

Menteri Besar Pakatan Rakyat ini menegaskan penswastaan harus bersifat tertuju dengan fokus untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Industri-industri pro-rakyat seperti kesihatan dan air harus kekal milik nasional bagi memastikan segenap lapisan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan yang ditawarkan.

"Tidak semua industri perlu diswastakan; ada perkhidmatan dalam barangan terpilih perlu terus kekal menjadi milik kerajaan. Misalnya bidang yang melibatkan keprihatinan sosial seperti perkhidmatan kesihatan tidak perlu diswastakan kerana ia memberikan khidmat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira siapa. Ini tidak sama dengan perkhidmatan perubatan yang boleh diswastakan,"

"Saya juga prihatin dengan penswastaan pengurusan sisa pepejal. Sisa pepejal dipusatkan dengan kerajaan Persekutuan mengambil-alih semua pengurusan sisa pepejal dari kerajaan tempatan, termasuk pembersihan longkang dan menswastakan kepada satu syarikat,"

"Ia bermaksud semua autoriti hendak dirampas dari kerajaan tempatan. Putrajaya kini akan menentukan pengurusan sampah di kampung kecil di Kuala Kubu Bharu,"

Tan Sri Khalid menggesa kerajaan untuk menerima sistem tender terbuka sebagai piawai urusan kontrak kerajaan. Beliau turut melahirkan dukacita diatas ideologi penswastaan mundur yang ditunjukkan kerajaan.

"Penyelesaiannya adalah jangan menswastakan kos dan hanya swastakan hasil. Kos yang terlibat dalam mana-mana projek pembangunan khusus boleh dijalankan kerajaan sebagai asas perbelanjaan. Kerajaan sepatutnya menswastakan seksyen projek yang idea, kreativiti, model perniagaan yang unik boleh diketengahkan untuk menjana keuntungan lebih baik,"

Menteri Besar Pakatan Rakyat ini menegaskan pengagihan tender dan kewangan haruslah menghormati autoriti kerajaan-kerajaan bersekutu. Birokasi dan kos operasi Kerajaan Pusat dapat dirampingkan sekiranya autonomi kerajaan-kerajaan negeri tidak diganggu-gugat politik kepartian.

"Adalah lebih ideal menggunakan konsep Suruhanjaya Bebas Pemberian Persekutuan sebagaimana yang dipraktikkan di negara lain seperti Kanada dan Australia, yang melakukan pengagihan kewangan bukan berdasarkan afiliasi politik, tetapi keperluan pembangunan,"

"Kerajaan Persekutuan kelihatan lebih gemar mempolitikkan tadbir urus ekonomi dengan mengabaikan peranan negeri Selangor. Selangor sejak sekian lama menyumbang 20 peratus KDNK negara, namun sumbangan itu seolah dipinggirkan dalam RMK10,"

Read more ...

Felda bakal bankrap akibat campurtangan Umno



KUALA LUMPUR, 22 Jun : Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang menghadapi kemerosotan rizab tunai yang menjunam hampir RM3 bilion dikhuatiri akan bangkrap dalam masa terdekat akibat salah urus, kerugian pelaburan dan pembaziran projek yang berterusan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Keadilan Datuk Zaid Ibrahim dan Pengerusi Biro Felda dan orang Asal Keadilan Pahang, Suhaimi Said mencapai rumusan itu berdasarkan hakikat :RM1.35 bilion pada 2009.

- Tindakan membelanjakan RM622 juta untuk bangunan Felda di kawasan segi tiga hanya memberi keuntungan kepada pihak tertentu dan bukan atas keperluan Felda sendiri

- Sejak 5 tahun lalu sebanyak tiga anak syarikat Felda telah ditutup iaitu Getah Felda, Sutera Jaya dan Felda Herba kerana urusniaga mencurigai.

- Pemborosan berterusan termasuk membelanjakan hingga RM5juta untuk pertandingan futsal dan kelab bolasepak.

- Keputusan Lembaga Pengarah Felda ditolak oleh “pihak atasan” semata-mata untuk memberi keuntungan kepada individu tertentu.

Justeru Persatuan Generasi Anak Peneroka Felda (ANAK) bersama Keadilan Pahang akan membuat laporan di Balai Polis Temerloh pada 23 Jun ini terhadap Perdana Menteri Najib Razak kerana tindakan-tindakannya yang dilihat sebagai membangkrapkan Felda.

Datuk Zaid berkata Najib mepergunakan Felda sebagaimana mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad memperalatkan syarikat-syarikat kaitan kerajaan GLC sepanjang pemerintahannya.

"Kita tidak terkejut kerana inilah stail Mahathir yang diikuti oleh Najib, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) buat sahaja apa yang diarahkan Perdana Menteri. Kalau budaya ini berterusan dan macam inilah perkara itu tidak mustahil (Felda akan bangkrap),"ujarnya.

Beliau turut mengulas pendedahan Ahli Majlis tertinggi Keadilan, Dr Tan Kwee Kwong mengenai keputusan Felda membeli tanah di kawasan segi tiga emas yang mempunyai nilai hartanah tinggi yang hanya melibatkan individu tertentu tanpa keputusan lembaga pengarah.

"Kita nak tahu apa sebab bangunan Felda hendak dibina di situ. Kita minta Najib jawab perkara ini. RM622 juta adalah jumlah yang sangat besar sedangkan ada banyak lagi tanah yang berselerak di Kuala Lumpur. Bangunan Felda yang lama juga boleh dibaiki lagi,

kenapa nak beli tanah tersebut. Ini menunjukkan ada orang tertentu yang ada kepentingan, jadi kita minta apakah rasional menyebabkan keputusan dibuat dan alasannya apa,"tegas beliau.

"Felda diarah Najib untuk buat kerja ini, guna duit rakyat untuk projek yang tak menguntungkan peneroka. Banyak projek pembaziran seperti ini yang boleh kita dapati di zaman Dr Mahathir yang suka dengan projek-projek besar yang membazir,"ujarnya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, Zaid mempersoalkan pembinaan ibu pejabat baru Felda yang bernilai RM622 juta dan bayaran pendahuluan sebanyak 40 peratus yang diberikan kepada Naza TTDI yang lebih tinggi dari nilai pasaran yang pada kebiasannya hanya pada kadar 10 peratus.

Sementara itu, Pengerusi Biro Felda dan orang Asal Keadilan Pahang, Suhaimi Said berkata sekiranya pengaliran keluar dana Felda berterusan, Felda akan mengalami nasib yang sama seperti Perwaja Steel.

"Tidak mustahil Felda akan menjadi satu syarikat seperti Perwaja. Ini kerana kerugian yang ditanggung Felda bukan jumlah yang kecil tetapi melibatkan ratusan juta ringgit,"ujarnya.

Menurutnya, keputusan ahli lembaga pengarah Felda mengenai pembelian tanah untuk pembinaan bangunan baru felda di Jalan Semarak bernilai RM220 juta telah diketepikan akibat penglibatan Najib.

"Keputusan( untuk membeli tapak sekarang) dibuat oleh Najib, Presiden Felda Global Venture Hoding, Mohd Bakke Salleh dan Pengerusi Naza TTDI Allyahrham SM Nasimuddin yang membelakangkan ahli lembaga Pengarah Felda. Ini adalah satu kesalahan dan kita minta SPRM supaya menyiasat perkara ini,"ujarnya.

Read more ...

Lambaian Ambang IPT

Image017-6.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR , 22 Jun : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar telah mengadakan majlis Lambaian Ambang IPT yang mengumpulkan pelajar yang akan menjejak kaki ke menara gading.

Ketua Pemuda PAS Parit Buntar Khairulzami Muhammad berkata, majlis berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang corak kehidupan di pusat pengajian tinggi.

“ Kami berharap majlis ini memberi motivasi dan semangat yang tinggi untuk mereka meneruskan kecemerlangan dalam bidang pengajian yang diambil di universiti.

“ Majlis ini juga bertujuan mewujudkan jaringan ukhuwwah pelajar dari Parit Buntar yang berjaya ke pusat pengajian tinggi” katanya

Khairulzami berkata, majlis ini diisi dengan ceramah dan diskusi yang mencakupi pendedahan awal pembelajaran dan corak kehidupan di universiti.

“ Suasana yang memberikan kebebasan di universiti apabila jauh dari keluarga memerlukan pelajar membuat keputusan dan tindakan yang bijak .

“ pengisian dalam majlis ini diharap dapat membantu pelajar membuat keputusan yang bijak sehingga berjaya membawa balik segulung ijazah dan memenuhi harapan keluarga” katanya

Read more ...

Bebaskan Ust. Zulkifli












LENGGONG, 22 Jun :
PAS kawasan mendesak kerajaan Malaysia melalui Menteri Luarnya menangani isu penahanan seorang rakyat negara ini, Ustaz Muhamad Zulkifli Zakaria, 41, oleh pihak berkuasa Mesir, secara serius kerana mangsa pergi ke negara itu untuk urusan pelajaran.

Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria, berkata Ustaz Zulkifli yang lebih dikenali sebagai Ustaz Ibrahim tidak mempunyai rekod yang beliau terbabit dengan sebarang kegiatan bertentangan dengan undang-undang negara dan tidak menyertai mana-mana jamaah yang diharamkan di negara ini.

Katanya, pemergian Ustaz Zulkifli hanya atas urusan untuk menyambung belajar di Universiti al-Azhar bagi peringkat Master, bagaimanapun ketika proses penerbangan balik pada 13 Jun lalu beliau ditahan pihak berkuasa Mesir.

"Semasa proses check out di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, sewaktu beliau berurusan dengan pihak imigresen, beliau ditahan sedangkan isteri dan dua anaknya tidak tahu apa-apa.

"Akhirnya apabila kapalterbang berlepas, beliau tidak bersama dengan isteri dan dua anaknya yang baru berusia dua dan tiga tahun," katanya sehari selepas pulang dari menemui Ahli Parlimen Pokok Sena, Yang Berhormat Datuk Mahfudz Omar dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen 21 Jun lalu.

Haji Razman berkata, penahanan oleh pihak berkuasa Mesir langsung tidak dimaklumkan kepada keluarga beliau di Malaysia, malah kerajaan sendiri tidak memaklumkan kepada pihak keluarganya.

Katanya, berikutan itu, 20 Jun lalu beliau ditemui bapa Ustaz Zulkifli, iaitu Haji Muhammad Zakaria Abdullah, 62, mengadu hal anaknya, membawa kepada pertemuan dengan Datuk Mahfudz dan Menteri Luar.

Selepas pertemuan itu, katanya Menteri Luar membuat kenyataan akhbar dan berita mengenai penahanan Ustaz Zulkifli yang juga bekas Calon Parlimen PAS Kawasan Lenggong itu disiarkan akhbar arus perdana hari ini (22 Jun).

"Saya mewakili PAS Lenggong, mendesak kerajaan Malaysia menangai masalah Ustaz Zulkifli dengan serius sehingga beliau dibebaskan oleh pihak berkuasa Mesir kerana Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak itu tidak bersalah.

"Saya juga berharap supaya keluarga Ustaz Zulkifli bersabar atas ujian yang dihadapi dan berdoalah supaya Ustaz Zulkifli dapat pulang segera ke pangkuan keluarga," katanya.

Read more ...

MB Negeri Sembilan dilindungi


KUALA LUMPUR, 22 Jun : Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook kesal jawapan Menteri Kewangan seolah-olah melindungi kepentingan politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan berhubung dakwaan penyeludupan wang RM10 juta ke United Kingdom pada Mac 2008.

Sebalik dalam jawapan kepada soalan lisan Anthony Loke, Kementerian Kewangan hanya memberitahu bahawa Bank Negara Malaysia telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurup wang yang terlibat dengan aktiviti pengiriman wang secara haram serta membatalkan lesen pengurup terbabit.

"Saya menerima jawapan bertulis terhadap pertanyaan tersebut yang mengatakan Bank Negara Malaysia telah mengambil tindakan menyerbu dan memulakan siasatan terhadap pengurup-pengurup wang yang terlibat dengan aktiviti pengiriman wang secara haram.

"Hasil siasatan yang telah dijalankan mendapati bahawa terdapat kegiatan pengiriman wang ke luar negara secara haram oleh pengurup-pengurup wang yang menyalahi peruntukan undang-undang di bawah seksyen 30(1) Akta Pengurup Wang 1998. Selain itu juga jawapan tersebut menjelaskan lesen pengurup terbabit telah dibatalkan oleh Bank Negara.

"Jawapan tersebut juga memberitahu tindakan undang-undang juga boleh di ambil oleh Bank Negara terhadap mana-mana pengirim dana yang membuat penghantaran dana ke luar negara secara haram," kata beliau pada sidang media di lobi parlimen tengahari tadi.

Anthony Loke kesal dengan jawapan yang diberikan kerana tidak dijelaskan apakah bentuk tindakan yang telah dikenakan ke atas Mohamad.

"Apa yang saya kesalkan tidak ada jawapan terhadap tindakan yang telah dikenakan ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan yang telah melakukan kegiatan tersebut, kenapa perkara tersebut disembunyikan tanpa diambil tindakan.

"Kenapa jika kes yang terlibat dengan mereka daripada golongan atasan dilihat mempunyai kepentingan dan tidak dikenakan apa-apa tindakan malah kes tersebut hanya senyap begitu sahaja.

"Persoalannya kenapa hanya pengurup wang sahaja dikenakan tindakan jika didapati bersalah, mana tindakan diambil ke atas Menteri Besar tersebut yang jelas beliau yang melakukan pengiriman wang.

"Menteri Kewangan perlu memberi penjelasan terhadap persoalan tersebut, jangan membiarkan perkara itu tanpa sebarang jawapan. Kita mahu tahu status sebenar. Jika benar Mohamad Hassan tidak bersalah beritahu atau sebaliknya perlu dijelaskan, jangan biarkan kes tersebut terus menjadi tanda tanya.

"Melihat kepada jawapan tersebut timbul beribu persoalan kenapa kerajaan senyap tanpa tindakan, adakah kerana jenayah dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepentingan politik tindakan dinafikan, sedangkan semua tahu penglibatan Menteri Besar Negeri Sembilan dalam jenayah menyeludup wang keluar negara dalam jumlah yang besar," jelasnya lagi.

Sebelum itu, Anthony Loke pernah membangkitkan isu mengenai kaitan Menteri Besar Negeri Sembilan dengan Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd sebuah syarikat yang dibatalkan lesen oleh Bank Negara kerana terlibat dalam pemindahan wang ke luar negara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan.

Menurut maklumat yang diperolehi daripada sumber dalaman, Bank Negara Malaysia mempunyai cukup bukti untuk mengaitkan Menteri Besar itu dalam pemindahan wang tersebut.

Semasa ucapan penggulungan dalam Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad terkedu dan hanya mengatakan beliau tidak berminat untuk menjawab soalan pembangkang mengenai dakwaan penglibatan beliau dalam penyeludupan wang ke luar negara.

Beliau bagaimanapun mengakui kini sedang di siasatan oleh pihak berkuasa tanpa memberi butiran lanjut mengenainya.

Read more ...

Kes Nizar mahkamah berkuasa..Kes Siva mahkamah tiada kuasa


PUTRAJAYA,22 Jun : Panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan tindakan mengheret Speaker Perak yang digulingkan, V Sivakumar, dari kerusi dan dikurung selama dua jam ketika tragedi rampasan kuasa 7 Mei lalu adalah sebahagian daripada prosiding Dewan Undangan Negeri.

Justeru, undang-undang Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengadili keganasan berkenaan - demikian keputusan Mahkamah Rayuan sebelum mengugurkan rayuan V Sivakumar.

Panel tiga hakim - Datuk Abdul Malik Ishak, Datuk KN Segara dan Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara menguatkuasakan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan dalam menolak rayuan saman Sivakumar terhadap speaker lantikan BN, R Ganesan.

Keputusan berkenaan disepakati sebelum kedua-dua pasukan peguam selesai membuat penghujahan masing-masing.

Panel tiga hakim juga memerintahkan Sivakumar supaya membayar RM20,000 sebagai kos perbicaraan.

Panel hakim itu bagaimanapun tidak memberikan alasan mereka membatalkan saman ADUN Tronoh itu.

Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak saman Sivakumar menuntut pampasan dan ganti-rugi daripada Ganesan kerana mengarahkan serangan dan penahanan tidak sah terhadap dirinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Azahar Mohamed memutuskan bahawa badan kehakiman tidak boleh mempersoalkan kesahihan mana-mana prosiding Dewan Undangan Negeri seperti yang ditekankan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan.

Azahar dalam mengugurkan saman tersebut berkata hal-ehwal perlantikan dan perlucutan Speaker harus dikaji, dibahas dan diselesaikan dalam dewan legislatif dan bukan di mahkamah.

Dalam perbicaraan hari ini, peguam Sivakumar, Chan Kok Keong, berkata perkara yang dikemukakan dalam saman itu boleh dibicarakan bagi menentukan sama ada peristiwa yang didakwa Sivakumar sebagai serangan dan salah penahanan beraku semasa persidangan DUN adalah arahan bagi Ganesan untuk dilindungi imuniti.

Beliau berkata pemilihan Ganesan dan tindakan untuk menyingkirkan Sivakumar dilakukan di luar persidangan dewan kerana ia dilaksanakan sebelum Raja Muda Perak menyampaikan titah ucapan perasmian.

Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, peguam Ganesan, berkata anak guamnya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Speaker yang sah mengikut kuasa diberikan kepadanya mengikut Perlembagaan Perak, Peraturan Mesyuarat dan amalan persidangan.

Katanya pada hari ini, DUN telah menyelesaikan isu penyingkiran Sivakumar dengan sokongan majoriti 31 wakil rayat dan kemudiannya melantik Ganesan sebagai Speaker.

Firoz berkata selepas Ganesan dilantik sebagai Speaker baru, beliau mengarahkan Sivakumar supaya kembali di tempat duduknya tetapi Sivakumar enggan menyebabkan Ganesan mengambil tindakan bagi memindahkan Sivakumar daripada tempat duduk Speaker.Bernama

Read more ...