Wednesday, April 21, 2010

Bagaimana nak hadir, kalau tidak dijemput


IPOH , 21 April : Ketiadaan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Rakyat (PR) pada majlis sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar kelmarin, terjawab apabila mereka mendakwa tidak menerima jemputan untuk hadir.

ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming berkata, PR menyanjung tinggi institusi raja dan menaruh harapan tinggi terhadap pihak istana sebagai payung keadilan kepada semua rakyat, tetapi malangnya hak mereka untuk didengar telah dinafikan.

Katanya, mereka langsung tidak berpeluang untuk menjelaskan hakikat sebenar apa berlaku kepada sultan berhubung perjalanan sidang DUN baru-baru ini.

"Rakyat perlu faham, alat pembesar suara ADUN PR ditutup sepanjang masa menyebabkan kami tidak dapat bersuara. Kerajaan BN juga enggan menjawab semua 216 soalan yang dikemukakan wakil rakyat PR.

"Akibatnya Dewan Negeri kini telah lumpuh dan tidak dapat berfungsi lagi. Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghantar surat memohon perkenan untuk menghadap tuanku sultan untuk menjelaskan kisah sebenar, tetapi tidak menerima jawapan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas titah Sultan Azlan Shah yang menzahirkan rasa malu dengan prosiding Dewan Undangan Negeri dan Parlimen berlangsung dalam suasana memekik dan menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kasar lagi kesat.

Menurut baginda, ini kerana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah institusi perundangan negara dan dewan tersebut dirujuk sebagai dewan yang mulia serta ahlinya dirujuk sebagai Yang Berhormat.

Kor Ming mendakwa, demokrasi dan hak rakyat di negeri itu telah dianiaya serta menyeru masyarakat supaya melihat apa sebenarnya yang berlaku sebenar.

ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim turut mengesahkan kenyataan rakannya dan berkata, semua ADUN PR Perak tidak dijemput ke majlis gilang-gemilang yang diadakan di Istana Iskandariah itu.

"Sebelum ini kami dijemput hadir dalam acara sambutan tahunan Sempena Hari Keputeraan Sultan Perak.

"Kenyataan ini dikeluarkan adalah untuk mengelakkan tohmahan dan anggapan sesetengah pihak kononnya kami sengaja tidak mahu hadir pada majlis itu. Ia tidak benar," katanya.SH

No comments: