Wednesday, April 21, 2010

RM 5000 tawaran tangkap perogol



TELUK INTAN, 21 April : DAP Teluk Intan menawarkan RM5,000 kepada pemberi maklumat kejadian rogol yang berlaku kelmarin sehingga tertangkapnya penjenayah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Seah Leong Peng berkata, pihaknya tampil untuk membantu pihak polis bagi menjejaki penjenayah yang dikehendaki itu.

Menurutnya, penjenayah seperti itu perlu ditangkap segera dan menerima hukum atas perbuatan terkutuk yang telah dilakukan itu.

“Saya telah bertemu dengan Ketua Polis Daerah Hilir Perak bagi mendapatkan penjelasan kerana maklumat yang diterima, pihak polis lambat tiba di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, setelah penjelasan dibuat, saya berpuas hati dan tidak teragak-agak untuk turut membantu pihak polis menjejaki suspek,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, seorang gadis yang cedera parah dirogol seorang lelaki yang tidak dikenali selepas terjatuh daripada motosikalnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun dalam satu kenyataannya kelmarin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi selepas mangsa bersama rakan selesai makan di sebuah restoran makanan segera, di sini.

Katanya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak di Jalan Pasir Bedamar, di sini, mangsa menyedari diekori sebuah motosikal setelah melihat melalui cermin sisi yang kemudiannya merapati mereka.

“Suspek memintas mangsa sambil menyembur sesuatu semburan ke arah mukanya sehingga menyebabkan mangsa dan pembonceng hilang kawalan serta terbabas lalu terjatuh daripada motosikal.

“Mangsa yang mengalami kecederaan serius di tangan kiri dan paha kiri kemudiannya diraba suspek sebelum diugut akan mencederakan mangsa dengan topi keledar,” katanya.

Mohd Zaki berkata, mangsa kemudiannya dibawa oleh suspek menuju ke Glutton Square di Jalan Pasar, di sini sebelum merogol mangsa lebih kurang 10 minit di dalam kawasan tandas wanita berhampiran.

Katanya, suspek terus melarikan diri sebaik selesai merogol mangsa dan membiarkan mangsa keseorangan di dalam tandas itu.

“Kita sedang memburu suspek yang merupakan seorang lelaki Melayu menaiki skuter warna hijau muda berketinggian lebih kurang 180 sentimeter dan berbadan tegap.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa merupakan anak bongsu daripada lima adik-beradik dan bekerja membantu ibunya dalam perniagaan makanan.SH

No comments: