Wednesday, April 21, 2010

Pemergian Pak Su Kob sukar dicari ganti

CIMG3746.jpg picture by paspb 

PARIT BUNTAR, 21 April :  PAS kehilangan seorang tokoh yang banyak memberi sumbangan harta benda kepada parti itu. Tokoh berkenaan ialah Yaakob Ahmad, 77 yang  meninggal dunia pada pukul 6.00 pagi hari Jumaat di rumah beliau di Sungai Acheh.

Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusuf Rawa yang menziarahi jenazah beliau berkata, Allahyarham semasa hidupnya telah menginfakkan seekar tanah yang bernilai lebih RM 100 ribu kepada PAS Kawasan Nibung Tebal.

“ PAS Kawasan Nibung Tebal telah membina sebuah markas tarbiyyah di atas tapak tanah yang diinfakkan oleh Allahyaraham” katanya

Dr. Mujahid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata,  Allahyarham bukan sahaja banyak memberi sumbangan kepada PAS, malah banyak memberi sumbangan kepada  masyarakat setempat.

“ Pak Su Kob ialah seorang tokoh yang mempunyai perwatakan yang disenangi ahli masyarakat. Jelas terbukti ketokohan beliau apabila ramai anggota masyarakat yang datang menziarahi jenazah beliau selain pimpinan dan ahli PAS Cawangan-Cawangan di Nibong Tebal” katanya

Beliau berkata, PAS Pulau Pinang terutama di kawasan Nibung Tebal telah kehilangan tokoh sukar dicari ganti.

“ PAS amat merasai pemergian Pak Su Kob yang banyak berjasa kepada perjuangan Islam. Masyarakat di Sungai Acheh juga merasai kehilangan tokoh yang cukup dikenali ini.

“ Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh pejuang Islam ini” katanya

No comments: