Wednesday, April 21, 2010

Umno jahil kerana 'terlebih mengaji agama'

SHAH ALAM, 21 April: AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa kesal dengan sikap pemimpin BN khususnya Umno yang masih menghebohkan isu minum arak oleh Datuk Zaid Ibrahim yang sudah bertaubat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, sangat tidak wajar mereka masih mengungkit-ungkit perbuatan salahlaku itu kerana Zaid sudah pun menyatakan taubatnya secara terbuka dan meminta maaf kepada rakyat Selangor amnya.

Datuk Zaid adalah bekas Ahli Parlimen Kota Bharu dan Menteri Undang-undang di zaman Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang kemudian meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju ISA dikenakan kepada tiga rakyat Malaysia termasuk Exco Selangor, Teresa Koh.

Beliau kini menjadi calon PKR mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil P94 Parlimen Hulu Selangor menentang calon BN, Kamalanathan dari MIC sedangkan kaum India hanya di bawah 20 peratus.

Mujahid mengulas perkara ini di dalam satu kuliahnya di sini malam tadi ekoran serangan peribadi bertali arus dibuat oleh BN terhadap Zaid menerusi media cetak dan elektronik yang disifatkan keterlaluan dan melampau.

Menurutnya, sedangkan Allah SWT pun menerima taubat sesorang hamba-Nya, takkanlah tahap keampunan di pihak Umno lebih besar daripada keampunan Allah SWT?

Jika hendak dikira begitu, tegasnya, sudah pasti dosa Saidina Omar lebih besar kerana khalifah ketiga itu pernah membunuh anak perempuannya sendiri di zaman jahiliahnya lalu satu ketika, Nabi Muhammad SAW bersabda, Allah mengampunkan segala dosa lepas yang dibuat secara jahil.

Dr Mujahid berkata, dalam hal ini pemimpin Umno yang masih menggunakan isu lama itu sebagai jahil, ‘terlebih mengaji agama’ atau tiada modal besar untuk bercakap.

“Sebab itulah Islam menetapkan jika datang pembawa berita yang fasik membawa berita hendaklah diminta penjelasan dari orang yang kena tuduh itu, jangan tanya pembawa berita itu sebaliknya bertanyalah kepada orang yang kena tuduh,” tegasnya.

Dalam kuliah lebih satu jam itu, beliau telah memberikan penjelasan tentang pelaksanaan undang-undang syariah yang masih ada saki baki di negara ini pun masih tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak berkuasa agama.

Jangankan hendak kuatkuasakan hukum Islam sepenuhnya, ujar Mujahid, yang ada saki baki undang-undang syariah ini pun tidak mampu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan ini amat mendukacitakan. IBH

No comments: