Thursday, April 29, 2010

Ketua Polis Selangor celupar















KUALA LUMPUR, 30 April :
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menasihatkan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar tidak mengeluarkan kenyataan celupar meminta ahli-ahli politik mengelak dari mengulas insiden remaja 15 tahun mati ditembak polis.

“Adalah menjadi tanggungjawab warga PDRM untuk menuntut Ketua Polis Selangor Datuk Khalid menutup mulut dari mengeluarkan kenyataan celupar dan tidak membantu usaha memperbaiki imej PDRM,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata kenyataan Khalid yang meminta ahli politik jangan campur tangan dalam kes menembak mati Allahyarham Aminulrasyid Amzah di Shah Alam Isnin lalu amat dikesali.

“Kenyataan beliau seolah olah ahli politik cuba mencampuri dan mengganggu urusan polis,” kata beliau lagi.

Mahfuz juga berkata, kenyataan ketua polis negeri itu juga dilihat sebagai satu percubaan yang terdesak untuk mengalihkan pandangan rakyat dari mempersoalkan integriti polis.

Kejadian yang menimpa Aminulrasyid, kata beliau, memburukkan lagi persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan dan polis.

“Sedangkan tindakan yang diambil oleh ahli politik hanya bersifat untuk memberi pembelaan dan keadilan untuk mangsa dan keluarganya.

“Kepada anggota PDRM ingin saya nyatakan kenyataan ketua Polis Selangor telah menambah persepsi negatif rakyat terhadap polis,” katanya.

Kelmarin, Khalid meminta semua pihak termasuk ahli politik supaya tidak campur tangan dalam siasatan polis berhubung insiden tersebut.

Beliau berkata campur tangan sedemikian akan hanya mengganggu siasatan.

Dalam kejadian berkenaan kira-kira pukul 2 pagi, Aminulrasyid meninggal dunia selepas terkena tembakan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri dalam satu sekatan polis.

No comments: