Thursday, April 29, 2010

'Musuh jangan dicari tetapi didekati' - Prinsip tokoh muslimat

CIMG3807.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR , 30 April : ”Dalam hidup ini jangan di cari atau di tambah musuh hatta UMNO sekalipun, mereka ini perlu didekati, jangan dijauhi tetapi perlu di dakwah” Itulah prinsip Tokoh Veteran Muslimat PAS Parit Buntar Hajah Saudah Saae dari Parit Abas yang dipilih sempena Mesyuarat Agung PAS Parit Buntar kali ke 56 di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin, Titi Serong.

Naib Yang Dipertua PAS Parit Buntar Ahmad Azhar Haji Sharin semasa membaca biodata tokoh berkenaan berkata, Hajah Saudah Saae, 72 menjadi ahli PAS pada 15 Jun 1966 dengan nombor keahlian 51540.

” Bersama dengan pimpinan muslimat PAS pusat pada ketika itu seperti Ustazah Hayati Hassan dan Ustazah Zainab Tarif, beliau membantu berkempen untuk memenangkan calon PAS dalam setiap kali pilihanraya diadakan.

Beliau pernah membawa bersama anak lelakinya yang masih kecil dan mendukung anaknya itu semasa merayu undi. Sungguh besar pengorbanan ini, bersusah payah agar Islam dapat dimenangkan” katanya

Azhar berkata, pada tahun 1977 atas arahan Kementerian Pelajaran suami beliau yang merupakan seorang pendidik telah ditukarkan ke Sabah.

” Beliau telah mengikut suami meninggalkan kampung halaman dan merantau ke tempat yang asing bagi beliau iaitu di Tawau, Sabah.

” Sungguhpun pendokong PAS amat kecil di Sabah, namun atas semangat perjuangan sedikit tidak melemahkan dirinya. Beliau meneruskan sumbangan dakwah dengan mengajar al Quran dan Fardhu Ain kepada masyarakat Islam di sana” katanya

Menurut Azhar, pada tahun 1987, suami beliau dapat bertukar kembali ke Semenanjung Malaysia dan mengajar di Parit Buntar.

” Sepuluh tahun di Sabah sedikit pun tidak melunturkan semangat beliau untuk terus aktif dalam perjuangan baik di peringkat cawangan maupun kawasan..

” Pada tahun 1998 sehingga 2006, beliau telah diamanahkan sebagai Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Parit Buntar. Kini walaupun uzur beliau masih aktif memimpin muslimat PAS di Parit Abbas” katanya

Majlis penyampaian anugerah Tokoh Veteran Muslimat PAS Parit Buntar telah disempurnakan oleh Setiausaha Perhubungan PAS Perak Misbahul Munir Masduki.

No comments: