Thursday, April 29, 2010

“Saya tidak dihubungi wakil kerabat diraja”


ALOR SETAR , 29 April : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa tidak dihubungi oleh mana-mana wakil Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK) berhubung tuntutan memohon ampun kepada Sultan Kedah yang didesak oleh persatuan tersebut.

Mohd Nasir berkata, beliau juga tidak akan menghubungi PKDK berhubung tuntutan ampun yang dibuat oleh persatuan itu kerana beliau tidak menerima sebarang panggilan atau surat yang menggesa agar beliau berbuat demikian.

Menurutnya, desakan yang dibuat oleh Yang Dipertua PKDK, Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya untuk beliau memohon maaf itu juga tidak timbul kerana beliau hanya membaca dan mendengar apa yang berlaku pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu menerusi akhbar dan radio.

“Perkara ini tidak timbul sebenarnya, mungkin apa yang berlaku adalah disebabkan salah :faham Yang Dipertua PKDK yang tidak meneliti soalan lisan yang dikemukakan oleh saya.

“Saya menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan, jadi tiada sebab untuk saya melakukan perkara ini dan saya berharap semua pihak tidak terperangkap dengan politik murahan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Mohd Nasir berkata, soalan lisan 3 (a) dan 3 (b) yang dikemukakan oleh beliau pada sidang DUN tempoh hari adalah kerana mahukan penjelasan daripada Kerajaan Negeri.

“Sama ada tersurat atau tersirat, soalan saya langsung tidak mempertikaikan kuasa Sultan.

“Saya yakin semua pihak yang membaca atau mendengar soalan lisan itu secara waras bersetuju tidak wujud walau sepatah perkataan mempertikai kuasa Sultan,” katanya.

Mohd Nasir berkata, bantahan yang dibuat oleh BN itu juga seolah-olah mahu menutup tindakan mereka yang tidak menghormati bidang kuasa Sultan.SH

No comments: