Thursday, April 29, 2010

Pakatan Rakyat anjur karnival



PARIT BUNTAR, 29 April : Kekalahan calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor langsung tidak melemahkan semangat pendukung parti berkenaan di Parit Buntar. Buktinya, penganjuran Karnival Penerangan Pakatan Rakyat Parit Buntar yang akan berlangsung selama empat hari bermula pada 30 April sehingga 3 Mei .

Pengarah Karnival Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, karnival yang akan diadakan di Dataran Pakatan Rakyat ,Tanjung Piandang bertujuan mendekatkan Pakatan Rakyat dengan masyarakat di Parit Buntar .

“ Pelbagai aktiviti telah disusun yang melibatkan kanak-kanak, remaja, wanita dan orang dewasa. Antaranya, sukan rakyat, persembahan kebudayaan, malam kesenian, khidmat kesihatan dan banyak lagi” katanya

Fakhrurrazi berkata Pengerusi Pakatan Rakyat Perak Dato’ Seri Ir. Haji Nizar Jamaluddin akan merasmikan karnival tersebut pada 30 April.

“ Pada malam berkenaan, pengunjung karnival akan menyaksikan persembahan kesenian tiga kaum iaitu hadrah, gendang India dan tarian naga.

“ Manakala pada malam kedua bertarikh 1 Mei, Mel bekas vokalis kumpulan Wings akan memberikan persembahan. Pada malam itu juga pengunjung akan disajikan dengan persembahan kesenian rakyat seperti rebana, nasyid dan puisi” katanya

Menurutnya, pada 1 Mei juga akan diadakan sukan rakyat, demontrasi masakan dan ceramah kesihatan di tapak karnival.

“ Pada 2 Mei pula akan diadakan peraduan untuk kanak-kanak pra sekolah dan sekolah rendah, beberapa pertandingan melibatkan kaum hawa dan khidmat kesihatan percuma.

“ Pengunjung boleh mendapatkan khidmat ujian glukosa, ujian tekanan darah dan kaunseling kesihatan yang akan diberikan oleh doktor-doktor sukarela” katanya

Tambah Fakrurrazi, karnival ini akan menampilkan ceramah pimpinan utama Pakatan Rakyat seperti Salehudin Ayub Naib Presiden PAS, Dr, Badrul Amin Ahli Majlis Tertinggi PKR, Nga Khor Ming Ahli Jawatankuasa Pusat DAP dan Shamsul Iskandar Mat Akin Ketua Pemuda PKR.

“ Saya berharap penduduk di Parit Buntar dan kawasan sekitar tidak melepaskan peluang mengunjungi karnival yang julung-julung kali diadakan ini.

“ Pelbagai gerai jualan akan menanti pengunjung selama empat hari karnival ini diadakan, jangan ketingalan menyaksikan semua aktiviti yang dijalankan” katanya

Gerai jualan sudah habis ditempah.

Maklumat lanjut rujuk Banner Karnival Pakatan Rakyat Parit Buntar

No comments: