Wednesday, May 12, 2010

Jelaskan pindaan akta pekerja


PARIT BUNTAR, 12 Mei : Pengerusi Lujnah Pekerja PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa meminta Kementerian Sumber Manusia menjelaskan ura-ura pindaan beberapa akta berkaitan pekerja yang bakal menafikan kebajikan pekerja di negara ini.

Bahrain yang juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, beberapa orang pekerja kilang telah datang ke pejabat parlimen bertanyakan hal berkenaan dan meminta Ahli Parlimen Parit Buntar membangkitkan isu tersebut dalam Parlimen.

“ Isu pindaan akta pekerja ini sudah mula heboh di tempat kerja mereka. Mereka datang mendapatkan kepastian dan memohon pembelaan.

“ Antaranya, pindaan ini menafikan hak pekerjaan menerima pampasan sekiranya diberhentikan oleh majikan” katanya

Beliau berkata pindaan baru ini juga akan menyebabkan cuti hujung minggu boleh dipinda mengikut kepentingan majikan.

"Pekerja boleh diminta bekerja pada hari Ahad seperti biasa dan mengambil cuti di hari lain, sekaligus menafikan masa rehat pekerja bersama keluarga mereka.

“ melalui pindaan ini, majikan boleh mengerah pekerja wanita bekerja pada malam hari dan waktu bekerja untuk golongan wanita dibolehkan dari 10 malam ke 5 pagi” katanya

Bahrain meminta Menteri Sumber Manusia memberi penjelasan segera kepada pekerja di Malaysia.

“ Kerajaan perlu beri penjelasan jika ada cadangan meminda akta pekerja. Jangan sembunyikan perkara sebenar daripada pengetahuan pekerja.

“ Amat malang bagi golongan pekerja di Malaysia jika pindaan ini benar-benar berlaku. Akta pekerja sepatutnya digunakan untuk mempertahankan hak pekerja bukan menafikan hak mereka” katanya

No comments: