Wednesday, May 12, 2010

PAS tumpu felda


MARAN , 12 Mei : PAS Pahang yang membawa dasar Islam akan memberi perhatian yang serius terhadap kebajikan rakyat negeri ini terutamanya golongan muda termasuk generasi kedua Felda yang dianaktirikan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, generasi kedua Felda terkenal sebagai golongan belia yang tidak mempunyai rumah sendiri malah tidak diberi peluang untuk memiliki rumah sendiri oleh pihak kerajaan.

“Golongan ini sukar untuk mendapatkan pinjaman perumahan kerana tidak mempunyai jaminan kewangan untuk menyokong permohonan pinjaman tersebut.

“Oleh itu, jika rakyat Pahang memberi mandat kepada PAS Pahang dan pusat mentadbir negeri dan pusat, tumpuan akan diberikan kepada rakyat yang sangat memerlukan tanpa mengira bangsa, agama dan budaya,” katanya.

Nasruddin berkata, jika PAS mentadbir negeri ini, pusat pentadbiran negeri akan dipindahkan ke Temerloh memandangkan Temerloh adalah bandar kedua terbesar selepas Kuantan.

Menurutnya, dengan perpindahan pusat pentadbiran itu, ia akan menyeragamkan pembangunan di Pahang tanpa terlalu memberi tumpuan pembangunan kepada Bandar Kuantan sahaja.

“Insya-Allah, dengan usaha yang tidak pernah pudar dalam diri pejuang-pejuang pas serta sokongan daripada ahli dan rakyat Pahang, PAS akan menguasai Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) akan datang,” katanya.

No comments: