Wednesday, June 16, 2010

DAP akan saman dua Adun lompat



KUALA LUMPUR, 16 Jun : DAP mungkin mengambil tindakan undang-undang ke atas dua ADUN dari parti itu yang berpaling tadah dan mengumumkan diri mereka sebagai ahli Bebas.

Ketua DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham (kiri, bertali leher biru) berkata pihaknya akan bertindak jika kedua-dua mereka tidak membayar bayaran pampasan RM5 juta setiap seorang seperti yang termaktub dalam perjanjian yang mereka tandatangani selepas memenangi kerusi masing-masing pada pilihan raya umum 2008.

Keputusan itu diambil berikutan pengumuman mengejutkan semalam apabila Keshvinder Singh (Malim Nawar) mengumum meninggalkan parti itu.

Beliau adalah ADUN kedua DAP yang berbuat demikian selepas Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) berbuat demikian pada Februari tahun lalu sehingga menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak tumbang.

Bercakap kepada wartawan di lobi parlimen, hari ini, Ngeh menjelaskan semua perwakilan DAP di negeri itu diwajibkan menandatagani perjanjian yang hampir sama selepas pilihan raya Mac 2008.

"Mereka telah bersetuju bahawa jika mereka meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai ahli Bebas, mereka terpaksa membayar RM5 juta kepada parti,” kata Ngeh yang juga ahli parlimen Beruas.

Ngeh berkata keputusan muktamad berhubung tindakan undang-undang itu akan diputuskan oleh jawatankuasa pusat DAP yang dijadualkan bermesyuarat akhir bulan ini.Malaysiakini

No comments: