Wednesday, June 16, 2010

PAS tak buang PKR


JUNJUNG , 16 Jun :
Tindakan PAS mengumumkan meletakkan calon bukan beragama Islam dan menggunakan lambang PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 bukan bertujuan membelakang atau mengetepikan PKR.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia adalah satu tindakan wajar kerana Malaysia mempunyai masyarakat dan rakyat berbilang kaum.

“Dengan adanya sistem sedemikian, Pakatan Rakyat (PR) pastinya akan mendapat lebih ramai sokongan daripada mereka yang bukan beragama Islam.

“Apa dilakukan PAS adalah satu petanda baik untuk memastikan kemenangan PR dalam PRU akan datang,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak merasakan tindakan PAS memberi laluan kepada ahli kelab penyokongnya menggunakan lambang PAS bertujuan mengetepikan PKR.

Beliau berkata, PKR, PAS dan DAP adalah satu pakatan yang kuat. Sekiranya dahulu PR hanya jadi pembangkang, hari ini PR menjadi kerajaan.

Beliau juga yakin jika semua ahli dan pengundi terus memberikan kepercayaan kepada PR, insya-Allah PR akan berjaya menawan Kerajaan Pusat.

Beliau yang hadir pada Majlis Makan Durian anjuran PKR Ranting Junjung turut di iringi Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Lim Soo Nee dan Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang, Mansor Othman menyatakan PR akan terus bersatu untuk meraih kepercayaan rakyat dan memastikan kemenangan PRU ke-13.

Menurutnya, PKR akan mengadakan rundingan terlebih dahulu bersama PAS dan tidak timbul isu PAS cuba mengetepikan PKR pada masa akan datang.SH

No comments: