Wednesday, June 16, 2010

Keshvinder diramal bakal Exco Perak















SHAH ALAM, 16 Jun : Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Kashmir Singh dari DAP yang mengisytiharkan keluar parti seterusnya menjadi calon Bebas dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai mengkhianati pengundi dan parti.

ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, tindakan tersebut juga merupakan taktik kotor BN yang berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan undi masyarakat India di Perak.

Menurutnya, BN mengalami trauma dan keperitan sehingga terdesak bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai calon India atau Sikh dalam barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Saya meramalkan beliau (Keshvinder) akan menjadi exco dalam barisan kepimpinan BN di Perak kerana BN tiada wakil daripada kaum India atau Sikh dan beliau menjadi anak emas BN kelak.

“Walau bagaimanapun, saya yakin mata pengundi sudah arif dan tidak akan memberi sokongan kepada pengkhianat parti seperti beliau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Suee Lim berkata, pihaknya melalui saluran politik akan mendesak ADUN Malim Nawar itu supaya meletakkan jawatan kerana kemenangan beliau atas tiket DAP.

“Namun kita percaya mereka yang sudah keluar parti ini tidak akan meletakkan jawatan dan mereka ini akan menggunakan ‘keistimewaan’ mereka itu untuk mendapatkan jawatan dan imbuhan daripada pihak lain.

“Tidak cukup peruntukan untuk menyelesaikan masalah rakyat hanya alasan untuk beliau keluar parti secara sah sahaja. Pada saya, tiada peruntukan bukan halangan dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan,” katanya.

Sambil mengucapkan selamat tinggal kepada Keshvinder, Suee Lim me�nyatakan ia adalah keputusan terbaik daripada DAP terus mengalami masalah dalaman dan menjadi barah dalam perjuangan parti itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan keluar parti Keshvinder sekaligus menunjukkan cara BN yang mengamalkan rasuah dengan membeli Adun daripada Pakatan Rakyat (PR).

“Pada saya, alasan tiada peruntukan sehingga mendorong beliau keluar parti menunjukkan beliau mempunyai prinsip yang salah dan ia adalah alasan semata-mata,” katanya.

Katanya, rakyat akan memahami masalah peruntukan itu sekiranya mereka diberitahu seterusnya memperlihatkan BN sebagai tidak adil, tidak telus dan tidak mengamalkan demokrasi.

“Saya tidak akan bertindak seperti itu (keluar parti) atas alasan tiada peruntukan. Rakyat akan faham jika mereka diberi penjelasan dan kita perlu tahu cara menggunakan wang supaya ia memberi manfaat kepada rakyat.

“Kadangkala cara kita gunakan wang lebih manfaat berbanding BN, tidak perlu program besar dan banyak bersederhana kerana rakyat akan lihat kita lebih ikhlas membantu mereka,” katanya.

No comments: